PARIS: Kemenangan 2-0 Borussia Dortmund secara agregat ke atas Paris Saint-Germain dan layak ke final Liga Juara-Juara Eropah di Wembley menebus kekecewaan kempen Bundesliga musim lalu, kata pengendalinya, Edin Terzic.
Dortmund beraksi cemerlang untuk mara ke final Liga Juara-Juara ketiga mereka sejak tahun 2013 selepas jaringan babak kedua Mat Hummels memberikan kemenangan 1-0 pada aksi timbal balik separuh akhir di Parc des Princes.
Terzic menuju ke arah penyokong Dortmund selepas perlawanan dan berkata dia mahu menebus kekecewaan musim lalu yang menyaksikan kejuaraan Bundesliga terlepas daripada genggaman pada hari terakhir.
“Musim lalu, kami tewas kejuaraan liga di laman sendiri pada hari terakhir. Saya gembira kini kami mampu memberikan sesuatu kepada penyokong,” kata Terzic.
Bayern Munich memintas Dortmund pada hari terakhir saingan Bundesliga musim lalu dengan kelebihan perbezaan jaringan.
“(Pergi ke arah penyokong) adalah saat cukup bermakna, saat yang sangat indah. Kami mengharapkannya pada hari terakhir perlawanan musim lalu. Tetapi hari ini kami berjaya menebusnya. Kami akan cuba membawa pulang trofi,” katanya.
PSG kendalian Luis Enrique menyaksikan empat kali percubaan mereka dinafikan tiang gol, dengan Kylian Mbappe, yang diharapkan mampu melakukan keajaiban pada musim terakhir di Paris, beraksi di bawah tahap sebenar.
Dortmund kini akan bertemu sama ada juara 14 kali, Real Madrid atau Bayern Munich, yang akan bertembung di Santiago Bernabeu awal pagi esok selepas terikat 2-2 pada pertemuan pertama. – REUTERS