Israel beri amaran perhebat operasi jika tiada kemajuan pembebasan tebusan

BAITULMAQDIS: Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, semalam berkata Israel bersedia memperhebatkan operasinya di Gaza jika rundingan gencatan senjata gagal memastikan pembebasan tebusan ditawan Hamas di wilayah Palestin.

Israel bersedia untuk “membuat kompromi” bagi mengeluarkan tebusan dari Gaza, kata Gallant selepas melawat kawasan Rafah yang diceroboh semalam.

Bagaimanapun “jika pilihan itu dialih keluar, kami akan meneruskan dan memperhebatkan operasi”, katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas perunding Israel tiba di Kaherah untuk usaha terbaru ke arah pembebasan tebusan dan gencatan senjata dalam perang yang berlangsung selama tujuh bulan.

Pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan berkata beliau telah mengarahkan delegasi Israel untuk “berdiri teguh dengan syarat yang diperlukan untuk pembebasan” tebusan yang ditahan di Gaza sejak serangan Hamas pada 7 Oktober, dan mengenai “keperluan penting untuk menjamin keselamatan Israel.”

Rundingan baharu itu dibuat selepas Hamas mengumumkan lewat Isnin ia telah menerima rancangan gencatan senjata yang dicadangkan oleh pengantara Mesir dan Qatar.

Walaupun usaha dijalankan sejak berbulan lalu, setakat ini gagal mencapai persetujuan dalam gencatan senjata baharu seperti gencatan senjata selama seminggu yang menyaksikan 105 tebusan dibebaskan November lalu, antaranya warga Israel sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin yang ditahan oleh Israel.

Usaha rundingan sebelum ini terhenti sebahagiannya kerana permintaan Hamas untuk gencatan senjata yang berkekalan dan ikrar Netanyahu untuk menghancurkan pejuang kumpulan itu yang masih tinggal di Rafah.

Semalam, Netanyahu dilaporkan berkata beliau telah memberi arahan lewat Isnin untuk merampas lintasan Rafah, dan “dalam beberapa jam, pasukan kami menaikkan bendera Israel di lintasan Rafah dan menurunkan bendera Hamas.”

Gallant menyatakan pencerobohan terhad Rafah, yang dilancarkan selepas Israel mengarahkan penduduk Palestin di timur bandar itu berpindah sebelum operasi darat dilancarkan mungkin akan memakan masa yang panjang.

“Operasi ini akan diteruskan sehingga kami menghapuskan Hamas di kawasan Rafah dan seluruh Semenanjung Gaza, atau sehingga tebusan pertama kembali,” katanya dalam kenyataannya.

Jika tebusan tidak dikembalikan, Gallant berkata Israel akan meluaskan operasinya “di seluruh Semenanjung, di selatan, di tengah dan di utara.”