‘Alhamdulilah, Allah selamatkan saya’ – Pemilik kenderaan dihempap pokok

KUALA LUMPUR – “Alhamdulilahh, Allah selamatkan saya, tiada apa-apa kecederaan tadi,” itu reaksi salah seorang mangsa pemilik kereta yang dihempap pokok di Jalan Pinang, di sini, pada jam 3.30 petang tadi.

Menurut ahli perniagaan, Md Monir Dewan, 46, ketika kejadian diri sedang memandu kenderaan jenis Toyoto Alphard dari rumahnya menuju ke pejabat di Soho Suites, Jalan P. Ramlee.

Akibat dari kejadian itu, kenderaannya yang dibeli setahun lalu mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung selepas ditimpa pokok sebanyak dua kali.

“Sewaktu kejadian itu, hujan lebat dan saya memberhentikan kenderaan disebabkan ada sepasukan pengiring kenderaan VVIP yang melalui jalan sama.

“Masa menunggu mereka lalu, dalam tiga minit macam itu tiba-tiba pokok tumbang atas kereta saya dan rasa macam hilang ingatan sekejap sebab kejadian itu berlaku mengejut, saya sempat mengucap syahadah.

“Kemudian, tidak lama itu ada orang bantu saya keluar dari kereta ikut tingkap. Rasa kalau tidak berhenti sebab beri laluan itu mungkin kejadian ini tidak berlaku pada saya,” katanya dalam nada syukur.

Sementara itu, Muhammad Zekry Ali, 36, merupakan salah seorang pemilik motorsikal yang dihempap pokok berkata, sewaktu kejadian dia sedang bekerja di dalam bangunan One KL, Jalan Pinang.

Katanya, motorsikal jenis Yamaha LC yang baharu sahaja dibelinya kurang setahun lalu mengalami kerosakan teruk dan ia merupakan antara lima motorsikal yang terbabit dalam insiden tersebut.

“Semasa kejadian, saya berada di dalam pejabat dan angin amat kuat sampai nampak pokok-pokok sebelah bangunan ini bergoyang lain macam.

“Tidak lama selepas itu, saya dan rakan sepejabat terdengar bunyi pokok tumbang yang agak kuat dan semua pergi ke tingkap untuk tengok apa yang berlaku.

“Saya lihat ke bawah nampak motorsikal saya antara yang dihempap pokok besar ini, kalau nak cakap pokok yang tumbang ini memang besar juga dan akar dia pun nampak dah tua sangat,” ujarnya.

Susulan kejadian itu, Muhammad Zekry berkata, laporan polis akan dibuat terlebih dahulu sebelum memanjangkan isu tersebut kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya akan membuat laporan polis dahulu dan panjangkan laporan ini ke pihak DBKL untuk lihat bagaimana boleh mendapatkan semula ganti rugi atau tidak ke atas kerosakkan motorsikal yang saya alami.

“Kalau boleh kita minta pihak DBKL selepas ini lakukan pemantauan lebih kerap terhadap pokok-pokok yang tua di sekitar Kuala Lumpur, ia memang cantik tapi kerapkan pemeriksaan,” jelasnya.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan sebanyak sembilan kenderaan, termasuk lima motosikal dan sebuah kenderaan polis terjejas dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Pinang, Jalan P Ramlee.

Katanya, kenderaan polis yang terbabit sedang dalam tugas mengiring konvoi Ketua Menteri Melaka ke ibu negara ketika kejadian pokok tumbang berlaku pada jam 3.26 petang tadi.

Dalam pada itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu. – MalaysiaGazette

Source :