Barca rampas semula tangga kedua La Liga

BARCELONA, Sepanyol: Barcelona merampas semula tangga kedua La Liga dengan kemenangan 2-0 di laman sendiri ke atas Real Sociedad awal pagi tadi susulan jaringan babak pertama Lamine Yamal dan penalti lewat Raphinha.

Pasukan kendalian Xavi Hernandez melonjak mengatasi Girona dengan 76 mata, satu mata di depan musuh Catalunya itu yang keciciran mata ketika seri 2-2 di Alaves hujung minggu lalu.

Real Madrid sudah mengesahkan kejuaraan liga, mengumpul 90 mata dengan berbaki tiga perlawanan.

“Perjalanan masih jauh. Ia satu pertarungan hingga ke akhirnya. Girona amat kuat,” kata pertahanan Barcelona, Inigo Martinez kepada Movistar.

“Ia terpulang kepada kami sekarang. Saya fikir pasukan ini amat bagus. Tiga mata berharga. Kami melakukan beberapa kesilapan pada babak pertama. Pada babak kedua saya fikir kami patut menamatkan cabaran lawan lebih awal.”

Yamal meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-40 apabila dia tenang menyumbat masuk susulan hantaran Ilkay Gundogan selepas satu serangan balas pantas bagi gol kelimanya dalam La Liga musim ini.

Penalti Raphinha pada masa kecederaan memastikan kemenangan buat tuan rumah selepas semakan VAR kerana bola terkena tangan, menyaksikan kelab Basque itu berada di tangga ketujuh dengan 54 mata, satu mata di belakang Real Betis bagi tempat terakhir ke Liga Europa.

“Real sering kali menyukarkan kami. Mereka sentiasa beraksi dengan amat tersusun, agresif, anda tidak mencetus bahaya buat mereka,” kata Xavi kepada wartawan.

“Ia satu kemenangan penting buat kami. Kami beraksi satu permainan yang bagus secara umumnya.” – REUTERS