Russia hujani serangan bom ke atas wilayah Kharkiv

RUSKI TYSHKY: Russia melancarkan serangan besar-besaran membedil bandar dan perkampungan di wilayah Kharkiv di timur laut Ukraine, beberapa hari selepas tenteranya melancarkan serangan darat mengejut di sempadan.

Tentera Ukraine juga mengakui Russia ‘mencapai kejayaan taktikal’ dalam melancarkan serangan darat pada Jumaat lalu, yang memaksa hampir 6,000 orang berpindah.

Bagaimanapun, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menegaskan, Ukraine juga menghantar bala bantuan, termasuk untuk ‘serangan balas’,

“Tugas kami jelas, untuk menggagalkan percubaan Russia bagi mengembangkan perang,” katanya dalam satu ucapan.

Kementerian Pertahanan Russia berkata, tenteranya sudah ‘memperbaiki kedudukan taktikal dan memberi tamparan kepada tenaga kerja (Ukraine)’ di sekitar perkampungan di sempadan termasuklah di Lyptsi dan bandar Vovchansk.

Seorang askar yang keletihan di Lyptsi berkata, bom dan peluru berpandu jatuh dari udara ‘seperti hujan’.

Ketua Majlis Keselamatan Ukraine, Oleksandr Lytvynenko berkata, Moscow juga mengerahkan puluhan ribu tentera ke wilayah Kharkiv.

Penduduk dari Vovchansk yang melarikan diri susulan serangan Russia, tiba di pusat pemindahan di Kharkiv, Ukraine. - Foto REUTERS
Penduduk dari Vovchansk yang melarikan diri susulan serangan Russia, tiba di pusat pemindahan di Kharkiv, Ukraine. – Foto REUTERS

“Agak ramai orang Russia iaitu kira-kira 50,000 askar berada di sempadan, namun lebih 30,000 orang datang menentang mereka,” katanya kepada AFP.

Rumah Putih semalam berkata, mereka sedang melakukan ‘segala-galanya’ untuk menyegerakan penghantaran senjata ke Ukraine bagi memerangi serangan mengejut Russia.

“Kami melakukan segala yang mungkin secara kemanusiaan” kata Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), Jake Sullivan, kepada pemberita, berhubung pakej senjata baharu yang akan diumumkan ‘dalam beberapa hari akan datang’.

Gabenor wilayah Kharkiv, Oleg Synegubov berkata, sejak serangan bermula, seramai 5,762 orang sudahdipindahkan.

“Hari ini kami merancang untuk membawa keluar kira-kira 1,600 penduduk tempatan,” tambahnya.

Beliau juga berkata, penting untuk memindahkan 113 kanak-kanak ke tempat selamat dari rumah anak yatim berhampiran sempadan.

Seorang lelaki mengusung seorang wanita tua keluar dari kereta polis, selepas dia dipindahkan dari kampung barisan hadapan Lyptsi, di pusat pemeriksaan di luar Kharkiv, Ukraine. - Foto AFP
Seorang lelaki mengusung seorang wanita tua keluar dari kereta polis, selepas dia dipindahkan dari kampung barisan hadapan Lyptsi, di pusat pemeriksaan di luar Kharkiv, Ukraine. – Foto AFP

Jeneral Staf itu juga berkata, Russia melancarkan 11 serangan semalam termasuk lapan serangan udara di wilayah Kharkiv,

Ia berkata, Russia mendapat ‘sebahagian kejayaan’ dalam menawan kampung Lukyantsi, tetapi Ukraine menghentikan kemaraannya itu.

Synegubov berkata, Russia menyerang ‘lebih daripada 30’ bandar dan kampung.

Petang semalam, polis berkata, peluru berpandu juga mendarat di Korotych, sebuah penempatan berhampiran bandar Kharkiv dan membunuh seorang lelaki berusia 38 tahun dan mencederakan tiga yang lain.

Serangan sebelum ini mencederakan seorang wanita berusia 71 tahun di Lyptsi dan seorang lelaki berumur 69 tahum di bandar Izyum.

Tentera Ukraine juga melaporkan pertempuran di Vovchansk, di mana Russia mengerahkan ‘pasukan penting’ seramai lima batalion. – AFP