Lelaki sebabkan kematian anak teman wanita dipenjara 8 tahun

MELAKA – Seorang lelaki yang sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh bayi teman wanitanya dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian bayi lelaki itu yang baru dilahirkan tiga tahun lalu.

Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Shamil Ashraf Zainudin, 22, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara hukuman penjara sehingga 30 tahun atau denda.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didapati telah melakukan satu homosid mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh ke atas seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan seorang wanita berusia 18 tahun pada waktu kejadian.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan semak tepi jalan berhampiran sebuah pusat asuhan dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 12.01 pagi hingga 10.30 malam 29 Mac 2021.

Berdasarkan fakta kes, pengadu seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka telah menerima kes kecemasan seorang wanita iaitu teman wanita tertuduh mengalami pendarahan di kemaluan kerana bersalin.

Apabila ditanya mengenai keberadaan bayinya, wanita berkenaan memaklumkan bayi berkenaan hidup sewaktu dilahirkan kerana terdengar tangisan namun tidak mengetahui kerana telah dibuang oleh teman lelakinya di kawasan semak samun di Telok Mas.

Hasil bedah siasat mendapati, bayi berkenaan yang diambil semula tertuduh selepas itu telah mencapai umur matang 41.6 minggu tidak mempunyai kecederaan akibat luka tajam atau akibat benda tumpul atau kecederaan lain.

Doktor pakar berpendapat, tindakan ibu bapanya bayi berkenaan yang membuangnya di kawasan tidak sepatutnya menyebabkan kebarangkalian paru-paru bayi lelaki itu merosot dan membawa kepada kematian akibat congenital pneumonia.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nabilalif Mohd Rosli memohon hukuman setimpal kerana perbuatannya meletakkan bayi berkenaan di kawasan semak bertujuan mengelak ia dikesan orang ramai.

Peguam tertuduh, M Vinodharan bagaimanapun memohon hukuman penjara yang rendah kerana ia adalah adalah kesalahan pertama anak guamnya selain telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa hadapan.

Selain itu, ketika kejadian tertuduh masih muda berusia 19 tahun dan tidak berfikir panjang untuk menutup kesalahannya itu selain tidak melakukan apa-apa kekerasan terhadap anaknya itu sehingga menyebabkan kematian.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Mohd Radzi menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dari tarikh ditangkap pada 29 Mac 2021.

“Perbuatan dalam kes ini sangat tragis…dalam hidup ini kita sentiasa berdepan situasi untuk membuat pilihan tepat menggunakan akal dikurniakan Tuhan.

“Mahkamah berpendapat, hukuman penjara lapan tahun dari tarikh ditangkap adalah setimpal,” katanya. – MalaysiaGazette

Source :