Suspek serang balai polis terlibat dengan JI – KPN

JOHOR BAHRU – Suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram awal pagi tadi disahkan terlibat dengan kumpulan Jamaah Islamiyah (JI).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan perkara itu berkata, suspek dipercayai berusia 34 tahun itu berjaya ditembak mati di lokasi kejadian.

Menurutnya, ia bermula apabila dua wanita kononnya mahu membuat laporan polis sebelum suspek berkenaan masuk dari pintu belakang balai.

Suspek masuk ke dalam menggunakan motosikal.

“Semasa wanita datang masuk ini membuat laporan, satu suspek yang ditembak mati (oleh suspek) dan apabila anggota datang melihat, anggota kita telah ditetak dan mengambil senjata api dan masa sama apabila anggota peronda pergi mencari suspek dan dua anggota balik dengan telah berlaku tembak menembak dan salah seorang anggota kita ditembak di pipi dan tembus di kepala mati di tempat kejadian.

“Bagaimanapun seorang anggota kita telah menembak suspek dan suspek dikenali dan bapa dia JI berumur 62 tahun dan kita telah menangkap dua pengadu itu (dua wanita) tadi.

“Kalau berita dua tahun dahulu datang pukul 2 pagi untuk meminta pandangan daripada polis macam tidak logik jadi kita tangkap,” katanya dalam sidang media selepas meninjau lokasi kejadiandi Balai Polis Tiram hari ini.

Razarudin berkata, polis kemudian menyerbu rumah keluarga suspek lelaki di Ulu Tiram dan pemeriksaan mendapati ada beberapa maklumat berkait kumpulan JI di kediaman berkenaan.

“Susulan itu kesemua lima ahli keluarga suspek yang dipercayai anggota serpihan JI ditahan untuk siasatan lanjut. Mereka berusia antara 15 tahun hingga 62 tahun,” katanya.

Dalam serangan pukul 2.54 pagi itu, dua anggota polis dilaporkan terbunuh manakala seorang lagi cedera.

Suspek yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan ditembak mati di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette

Source :