Banjir di Perak makin pulih, mangsa di PPS berbaki 100 orang

IPOH: Situasi banjir di Perak semakin pulih pagi ini dengan jumlah penduduk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 100 orang daripada 29 keluarga berbanding 250 membabitkan 72 keluarga setakat jam 4 petang semalam.

Mereka yang terjejas dipindahkan ke lima PPS di dua daerah, manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Gelugor di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak di daerah Hilir Perak, ditutup petang semalam.

Penutupan dua PPS itu susulan keadaan banjir di Kampung Matang Gelugor, Kampung Matang Pasir dan Batu 9 Jalan Changkat Jong surut sepenuhnya.

Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak setakat jam 8 pagi tadi, menunjukkan LMS daerah paling terjejas dengan merekodkan 66 mangsa daripada 22 keluarga ditempatkan di empat PPS.

Daripada jumlah itu, 27 mangsa membabitkan 13 keluarga adalah di Trong yang dipindahkan ke PPS SK Temerlok, 16 daripada empat keluarga di PPS Dewan Orang Ramai Sungai Baru dan 12 daripada dua keluarga di PPS Dewan Orang Ramai Batu Hampar Trong.

PPS SK Matang pula menempatkan 11 mangsa daripada tiga keluarga, manakala di daerah Kuala Kangsar, semua 34 mangsa membabitkan tujuh keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Talang Masjid.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan semua sungai di negeri ini berada pada paras normal.