Sultan Mizan rasmi Wisma Audit

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Zainal Mizan Abidin merasmikan Wisma Audit Terengganu, di sini, hari ini.

Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang di-Pertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail Sultan Zainal Abidin.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Sementara itu Dr Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, pembangunan bandar Bukit Besar sebahagian daripada pelan pembangunan bandar baharu, yang membabitkan agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan tapak kira-kira 556 hektar bagi membolehkan pelbagai projek pembangunan termasuk perumahan, komersial dan kemudahan awam dilaksanakan.

“Setakat ini tiga projek pembangunan sudah siap dilaksanakan iaitu bangunan Jabatan Kimia Malaysia, Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit.

“Wisma Audit bernilai kira-kira RM20.24 juta satu perkembangan penting dalam memperkasa peranan audit dalam tatakelola dan pengurusan kewangan kerajaan dan agensinya,” katanya.