Syarikat, 2 pengarah didakwa 7 pertuduhan gagal bayar cukai perkhidmatan dan penalti

Chukai: Sebuah syarikat serta dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen Kemaman di sini, hari ini, atas tujuh pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan lebih RM300,000 dan penalti lebih RM127,000.

Syarikat Ranaco Marine Sdn Bhd; Ahmad Firdhaus Ramlan, 39; serta Norihan Ahmad, 71, didakwa melakukan kesalahan itu secara niat bersama pada 2022 dan 2023.

Bagaimanapun, syarikat Ranaco Marine dan Ahmad Firdhaus mengaku tidak bersalah selepas tujuh pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd, manakala Norihan tidak hadir pada prosiding berkenaan atas faktor kesihatan.

Mengikut pertuduhan satu hingga tujuh, Ranaco Marine bersama Norihan serta Ahmad Firdhaus didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan berjumlah RM319,077.97 dan penalti berjumlah RM127,631.16 kepada Ketua Pengarah Kastam seperti yang ditetapkan bawah Seksyen 26(4) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807).

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan dalam tempoh Januari, Februari, Mac, April, September dan Oktober 2022 serta Januari hingga Ogos 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu, Muhammad Adam Zahid dan Nur Zahidah Razali, manakala syarikat Ranaco Marine serta Ahmad Firdhaus tiada diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan Ahmad Firdhaus diikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan, dan menetapkan 27 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu dalam kes berasingan di mahkamah sama, pemilik syarikat Dynatrade View Resources, Ahmad Shukri Muda, 38, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan RM16,585.76 dan penalti RM6,634.30 bagi tempoh bercukai pada 1 September hingga 31 Oktober 2018.

Ahmad Shukri didakwa mengikut Seksyen 26(7) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan juga dikendalikan Muhammad Adam dan Nur Zahidah, manakala Ahmad Shukri diwakili oleh peguam, Mohd Hazwan Hamidun.

Wan Suhaila kemudian membenarkan Ahmad Shukri diikat jamin sebanyak RM1,500, dan juga menetapkan 27 Jun depan untuk sebutan semula kes.