Maritim Perak rampas 61 set bubu naga bernilai RM4,000

Kesemua bubu berkenaan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Perak untuk tindakan lanjut. – Foto FB Maritim Malaysia

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Perak merampas sebanyak 61 set bubu naga bernilai lebih RM4,000 di sekitar Pulau Talang dan Pantai Remis di sini semalam.

Pengarahnya Kapten Mohamad Shukri Khotob berkata kesemua bubu terbabit dikesan oleh sepasukan anggota Maritim Perak yang sedang melaksanakan rondaan kira-kira pukul 12.30 tengah hari hingga 3.10 petang.

“Semua bubu naga itu dirampas di dua kedudukan berbeza sekitar 1.8 batu nautika dari barat daya Pulau Talang dan 1.6 batu nautika dari barat Pantai Remis oleh sepasukan anggota Maritim yang melaksanakan rondaan.

“Rondaan telah menemukan bendera berwarna merah, putih serta botol minuman yang dijadikan pelampung dan diikat pada pancang kayu di lokasi terbabit. Pemeriksaan lanjut mendapati pancang kayu itu ialah penanda kepada bubu berkenaan yang dipasang pihak tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Shukri berkata kesemua bubu berkenaan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Perak untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat bagi sebarang pelanggaran undang-undang di laut dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak melalui talian 05-6838737 untuk tindakan segera.

Source :
BERNAMA