Pesawat selamat mendarat selepas rempuh 36 flamingo

PESAWAT di Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai. FOTO fail AFP

India: Sebuah pesawat penumpang mendarat dengan selamat di Mumbai, selepas terbang melalui sekumpulan flamingo, kata pakar hidupan liar dan laporan media pada Selasa.

Kejadian mengakibatkan sekurang-kurangnya 36 haiwan itu mati.

Sekurang-kurangnya 36 daripada burung penghijrah besar itu terbunuh, lapor harian Hindustan Times, tetapi pakar hidupan liar berkata, mereka bimbang lebih banyak lagi mungkin mati.

Pawan Sharma, dari Persatuan Resqink untuk Kebajikan Hidupan Liar (RAWW) yang berpangkalan di Mumbai berkata, pihaknya menerima beberapa panggilan pada petang Isnin apabila bangkai burung merah jambu itu jatuh dari langit.

Lapangan Terbang Mumbai merekodkan lebih 600 kes serangan burung oleh pesawat dari Januari 2018 hingga Oktober 2023 berdasarkan statistik kerajaan.

Bagaimanapun, Sharma berkata adalah luar biasa untuk begitu banyak flamingo dibunuh dalam satu peristiwa.

“Ini adalah kali pertama sebilangan besar burung flamingo menjadi mangsa,” kata Sharma kepada AFP.

Beliau bimbang lebih banyak lagi akan mati kerana beberapa bangkai burung itu tidak dalam bentuk untuk dipulihkan.

“Kawasan itu dipenuhi dengan bangkai burung. Serpihan sayap, paruh, kuku yang patah bertaburan di kawasan yang luas,” kata BN Kumar, dari kumpulan alam sekitar NatConnect Foundation, menurut Times of India.

Tanah lembap di sepanjang pantai Mumbai terkenal dengan sejumlah besar flamingo yang tiba sekitar bulan Disember selama beberapa bulan.

“Kedua-dua burung pemastautin dan migrasi terancam daripada penerbangan yang melalui habitat penting itu,” tambah Sharma.

“Adalah penting untuk menilai kejadian ini dan mengusahakan langkah mitigasi, supaya insiden malang seperti itu dapat dielakkan,” katanya.

Source :