Video baharu insiden Faisal?

KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga minggu insiden malang menimpa Faisal Halim, muncul video didakwa memaparkan kejadian simbahan asid membabitkan pemain bola sepak kebangsaan itu.

Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu tular di media sosial yang mana ia dikatakan berlaku di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara pada 5 Mei lalu.

Berdasarkan video yang tular itu, kelihatan individu seakan Faisal atau Mickey sedang berjalan menuju ke arah sebuah kenderaan bersama wanita yang dipercayai isterinya.

Dia kemudian dihampiri seorang individu yang sebelum itu dilihat berdiri di belakang kereta sebelum individu terbabit menghampirinya dari arah belakang.

Faisal Halim.
Faisal Halim.

Faisal dilihat sempat menoleh ke arah individu itu sebelum disimbah dengan cecair yang dipercayai asid.

Individu itu seakan sempat menyimbah cecair itu kali kedua kepada Faisal sebelum bergegas menaiki motosikal bersama rakannya yang sudah menunggu berhampiran tempat kejadian.

Siasatan mengenai kes serangan ke atas Faisal masih dilakukan pihak polis dan pada Ahad lalu, Bukit Aman mendedahkan wajah suspek mengikut lakaran fotofit yang berjaya dihasilkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata suspek dikenal pasti memakai topi celoreng tentera dan pelitup muka bercorak ketika kejadian itu.

“Suspek dianggarkan berusia 30 tahun, berketinggian 1.65 meter dengan saiz susuk badan sederhana dan berkulit sawo matang,” katanya.