BN akan gerakkan jentera hadapi PRK Sungai Bakap

SHANGHAI: Barisan Nasional (BN) akan menggerakkan jentera untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap walaupun calon yang bertanding bukan daripada gabungan berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jaminan itu dibuat bagi memastikan mana-mana calon yang bertanding mewakili Kerajaan Perpaduan mampu meraih kemenangan, sekali gus memperkukuh sokongan kerajaan Pulau Pinang.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, Kerajaan Perpaduan belum memperincikan perihal berkaitan calon yang akan bertanding di DUN berkenaan.

“Formula yang digunakan adalah mana-mana parti komponen dalam gabungan Kerajaan Perpaduan yang berada di kedudukan kedua (dalam keputusan Pilihan Raya Negeri, pada Ogos lalu), maka parti itulah yang akan menjadi (mengetengahkan) calon.

“Kita akan perincikan soal calon ini dan BN khususnya UMNO akan menggerakkan jentera di (PRK DUN) Sungai Bakap, biar siapapun calon yang akan dikemukakan Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman, memorandum perjanjian dan surat niat berkaitan bas elektrik.

Pemeteraian itu dibuat antara SKS Coach Builders Sdn Bhd (SKS) dan CRRC Corporation, MARA Liner dan SKS, serta MARA Corp dan China Electrical Equipment Group sempena lawatan rasmi sulung Ahmad Zahid ke China sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022.

Kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Sungai Bakap adalah susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, akibat radang dalam perut, Jumaat lalu.

Pada PRN Pulau Pinang lalu, Nor Zamri meraih 15,433 undi bagi menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.