Johor rancang buka 10 lagi pusat data

Ting Han berkata setakat ini di negeri itu telah mempunyai lapan pusat seumpamanya. – Foto BERNAMA

ISKANDAR PUTERI: Johor merancang untuk membuka 10 lagi pusat data di negeri berkenaan bagi menarik pelabur luar sekali gus meningkatkan pertumbuhan kadar ekonomi serta peluang pekerjaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor Lee Ting Han berkata setakat ini di negeri itu telah mempunyai lapan pusat seumpamanya.

Beliau berkata dua daripadanya yang terletak di Iskandar Puteri, Johor Bahru dan Sedenak, Kulai telah beroperasi sepenuhnya dan berjaya menarik pelanggan masing-masing dari dalam dan luar negara.

Jelas Lee lagi, kelebihan pusat data yang dibangunkan di Johor ini ialah mempunyai tenaga boleh diperbaharui dan ia dikendalikan oleh sebuah syarikat pusat data antara yang terbesar di dunia.

“Kepentingan dan kelebihan wujudnya pusat data ini supaya kita ada usaha untuk mengasah semula kemahiran dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja di Johor dengan turut dirancang inisiatif melibatkan juga institusi pendidikan yang ada di Johor.

“Ia kerana industri ini merupakan satu industri baharu dan berkait rapat dengan pembangunan kecerdasan buatan,” katanya.

Terdahulu, sejak dua tahun lalu, Johor telah meluluskan lebih RM90 bilion ringgit pelaburan menerusi sektor industri pusat data di negeri ini.

Source :
BERNAMA