Dua jemaah haji terkandas di Mekah, anak buat laporan polis

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri didakwa terkandas di Mekah dan kini buntu untuk pulang ke tanah air selepas pasport mereka tidak dikembalikan oleh agensi pelancongan (TA).

Anak mangsa yang mahu dikenali sebagai Ena, 33, berkata, ibu bapanya antara bakal jemaah haji yang terkait dengan isu tiga jemaah yang terkandas di Lapagan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Katanya,  orang tuanya yang masing-masing berusia 58 serta 60 tahun itu berlepas ke Mekah pada 2 Mei lalu menggunakan visa pelancongan untuk menunaikan haji.

“Ibu bapa saya mengambil pakej haji ini menggunakan visa pelancongan yang diuruskan oleh sebuah TA yang beroperasi di Seri Kembangan, Selangor.

“Bagaimanapun, hari ini saya dimaklumkan TA itu gagal menyediakan visa haji seperti yang dijanjikan dan keadaan itu membuatkan ibu bapa saya ingin menarik diri kerana bimbang berdepan risiko ditahan pihak berkuasa Arab Saudi.

“Malah TA itu juga mengenakan syarat supaya mereka menandatangani surat perakuan untuk tidak mendedahkan perkara itu (gagal menyediakan visa haji)  jika tidak mahu berdepan tindakan saman.

“Saya telah menasihati mereka agar tidak menandatangani surat itu kerana ia bersifat ugutan dari TA terbabit agar dapat melepaskan diri dari kesalahan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Penasihat undang-undang itu turut memaklumkan beliau menyediakan insurans kepada ibu bapanya dan tiket keretapi dari Madinah ke Mekah bagi memudahkan perjalanan mereka menunaikan haji.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan terdapat 16 lagi bakal jemaah haji tempatan berdepan situasi sama seperti ibu bapanya yang menggunakan pakej sebanyak RM45,000 dan kini mereka menetap di Hotel Jawad Al Taj, Mekah.

Ena telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Negeri Sembilan hari ini dan meminta pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan terhadap TA terlibat. – MalaysiaGazette

Source :