Jinping, Agong saling bertukar ucapan tahniah sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik

BEIJING: Presiden China Xi Jinping dan Yang di-Pertuan Agong Malaysia Sultan Ibrahim saling bertukar ucapan tahniah pada Jumaat sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, lapor Xinhua.

China dan Malaysia adalah jiran dengan persahabatan yang terjalin sekian lama, sahabat yang hatinya saling terhubung, dan rakan kongsi untuk kerjasama sama menang, kata Jinping.

Sepanjang setengah abad yang lepas, kedua-dua negara sentiasa melayan satu sama lain dengan ikhlas, saling menyokong dalam solidariti dan mencari pembangunan bersama, kata Jinping, sambil menambah bahawa hubungan China-Malaysia sentiasa berada di barisan hadapan negara-negara serantau.

Presiden China itu berkata bahawa pada tahun 2023, kedua-dua pihak mencapai konsensus penting mengenai pembinaan bersama komuniti China-Malaysia dengan masa depan yang dikongsi, membawa hubungan bilateral ke tahap sejarah yang baharu.

Persahabatan antara China dan Malaysia berakar umbi di hati rakyat, memberikan dorongan yang tidak pernah letih untuk perkembangan berterusan hubungan bilateral ini, katanya.

Jinping berkata beliau baru-baru ini menerima surat daripada pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Tianjin, China yang bertekad untuk menjadi utusan dan penggalak persahabatan China-Malaysia dan bercita-cita untuk menggunakan pengetahuan mereka bagi membantu membina komuniti China-Malaysia dengan masa depan yang dikongsi.

Beliau berkata beliau gembira melihat bahawa usaha persahabatan antara kedua-dua negara akan diteruskan oleh generasi akan datang.

Jinping yang menegaskan bahawa hubungan China-Malaysia telah mencapai titik permulaan bersejarah yang baharu, menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan Sultan Ibrahim bagi membimbing pembinaan komuniti China-Malaysia dengan masa depan yang dikongsi untuk pencapaian baharu.

Ini adalah supaya pembinaan komuniti ini akan dapat membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, membuat sumbangan yang lebih besar kepada kemakmuran dan kestabilan serantau, dan bersama-sama membuka 50 tahun gemilang seterusnya dalam hubungan China-Malaysia.

Sementara itu, Sultan Ibrahim bertitah sejak terjalinnya hubungan diplomatik 50 tahun lepas, Malaysia dan China sentiasa menghormati dan mempercayai satu sama lain, dan hubungan bilateral sentiasa mencapai pembangunan baharu.

Baginda bertitah sejak penubuhan perkongsian strategik komprehensif pada tahun 2013, kerjasama dan pertukaran bilateral dalam ekonomi dan perdagangan, pelaburan, budaya, serta pertukaran antara rakyat telah diperhebatkan dan diperluaskan lagi, katanya.

Pada kesempatan bersama-sama meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, Malaysia akan sentiasa bekerjasama dengan China untuk membawa kemakmuran dan memberikan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, titah baginda.