Kerajaan umum baucar buku RM100 kepada pelajar sekolah rendah

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan pemberian baucar buku bernilai RM100 kepada pelajar sekolah rendah bermula Tahun 4 hingga ke institusi pengajian tinggi di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian baucar itu akan dilakukan bermula pukul 2.00 petang esok sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 yang sedang berlangsung.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, baucar buku itu tidak dapat diberikan kepada semua pelajar sekolah rendah berbanding sebelum ini memandangkan kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan.

“Untuk anak-anak, baik di sekolah kebangsaan, sekolah Arab, sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil dan universiti, kita berikan baucar RM100.

“Bagi tahun ini, kita mulakan dari darjah empat untuk mengurangkan tekanan kewangan kerajaan. Ia turut diberikan kepada pelajar sekolah menengah, universiti, kolej, institusi perguruan dan sebagainya.

“Mulai jam 2 petang esok, pemberian baucar ini akan dimulakan.

“Kita akan beri panduan (jenis) buku termasuk novel klasik (seperti) hikayat Hang Tuah, novel oleh sasterawan terkemuka dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan PBAKL 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. – MalaysiaGazette

Source :