KUALA LUMPUR: Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar akan tampil dengan versi dirinya yang berbeza apabila kembali ke gelanggang ONE Championship Sabtu ini.
Johan, 18, yang mesra disapa Jojo akan membuat perhitungan dengan juara WMF Muay Thai lima kali dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat dalam pertarungan ONE 167 di Impact Arena, Bangkok, Thailand.
Ini adalah pertarungan pertama Johan sejak kali terakhir pada 8 Disember tahun lalu yang menyaksikan dia menumbangkan juara WBC dari Mexico, Edgar Tabares menerusi kemenangan ‘knockout’ (KO) dalam tempoh 36 saat di Bangkok.
“Bagi pertarungan kali ini, semua akan lihat versi Jojo yang berbeza, lebih tenang tetapi masih menghiburkan dan agresif.
“Saya perlu bijak untuk memilih masa yang sesuai bagi melakukan tumbukan dan sepakan.
“Semua akan lihat versi Jojo yang lebih ‘upgrade’,” kata Johan ketika sesi bersama media secara atas talian, semalam menjelang pertarungan dengan Tran Duy, Sabtu ini.
Menurut Johan yang mewakili Rentap Muay Thai Gym, dia sudah melakukan persiapan selama tiga bulan sebagai persediaan berdepan Tran Duy di bawah bimbingan jurulatihnya dari Thailand, Addy Sipangyak.
“Sebaik saja kami menandatangani kontrak untuk pertarungan ini kira-kira tiga bulan lalu, saya terus buat persiapan.
“Saya buat analisis mengenai strategi dan cara pertarungannya. Memang saya sudah buat persiapan terbaik.
“Namun, saya jangkakan ia akan menjadi pertarungan yang sukar kerana Tran Duy seorang yang berpengalaman.
“Mungkin akan berlanjutan ke pusingan kedua atau ketiga tetapi jika ada peluang untuk menang di pusingan pertama saya pasti akan ambil,” katanya.
Pertarungan kali ini turut menawarkan bonus prestasi sebanyak AS$50,000 (RM235,332.68) kepada pemenang jika melepasi syarat ditetapkan.
Pada Oktober tahun lalu, Johan mencipta sejarah apabila menjadi atlet tempur termuda memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 (RM463,300) dengan ONE Championship.
Berdasarkan rekod kemenangan 5-0 termasuk empat menerusi kiraan knockout (KO) sepanjang saingan musim lalu, Johan turut diangkat sebagai Bintang Muda Paling Menyerlah 2023 oleh ONE Championship.