Zakaria jemaah haji Malaysia paling tua

Makkah: Mula menabung sejak berumur 15 tahun, Zakaria Hamat akhirnya dapat menjejakkan kaki ke bumi Haramain untuk menunaikan Rukun Islam kelima pada usianya 90 tahun.

Berasal dari Kampung Bilok, Banggu, Kota Bharu, Kelantan, Zakaria tiba di Tanah Suci dengan penerbangan KT65 ditemani cucunya, Mohd Shafiq Mohd Sekari, 37, sekali gus jemaah Malaysia paling tua dibawa Lembaga Tabung Haji musim ini.

Seorang pesawah ketika zaman mudanya, Zakaria sentiasa aktif ketika di kampung yang menjadi antara amalan terbaiknya untuk kekal sihat.

“Kalau di rumah, datuk akan membuat kerja-kerja seperti menebas rumput, buang daun pisang kering walaupun di bawah cuaca panas. Dia memang tak boleh duduk diam dan masih berkebun pada usia ini,” kata Mohd Shafiq.

Sambil mencelah cerita cucunya, Zakaria berkata, badan boleh menjadi lemah sekiranya duduk sahaja.

“Kalau buat kerja boleh keluar peluh. Apabila berpeluh badan akan rasa segar,” katanya yang turut mengamalkan membaca surah At-Taubah ayat 128 dan 129 setiap kali selepas solat Maghrib dan Isyak.

Zakaria atau dikenali Poksu Ya, mendirikan rumah tangga dengan Ramlah Deris, 85, dikurniakan dua anak lelaki yang kedua-duanya sudah meninggal dunia.

Mereka juga dikurnia lapan cucu dengan Mohd Shafiq sebagai cucu sulung.

Selain membaca al-Quran, poksu mengamalkan selawat dan zikir seperti selawat Tafrijiyah dan zikir taubat untuk kekal sihat dan panjang umur.

Katanya, Ramlah tidak mengikutnya menunaikan haji disebabkan kurang sihat dan pernah menghidap sakit dalam perut dan melakukan pembedahan membuang ketumbuhan.

“Dia cakap tak apa saya pergi (haji) dulu dan pesan untuk doakan semua ahli keluarga sihat,” katanya yang berkahwin selama 65 tahun lalu.

Zakaria turut memberitahu dia membuat tabungan hasil kerja keras membanting padi ketika muda, termasuk merantau hingga ke Kedah demi memastikan dapat menunaikan haji.

Walaupun usia mencecah hampir 10 dekad, Zakaria bersyukur tahap kesihatannya masih baik dan tidak menghidap sebarang penyakit.

Menurut Mohd Shafiq, datuknya tiada penyakit kronik melainkan pendengaran yang sedikit bermasalah.

“Dia pun tak pernah makan ubat dan masih kuat berjalan. Tetapi di sini, saya gunakan kerusi roda untuk datuk. Saya sanggup tolak dia pergi balik Masjidil Haram kerana bimbangkan keselamatannya (jika banyak berjalan),” katanya.

Mohd Shafiq berkata, dua tahun berturut-turut datuknya menerima tawaran mengerjakan haji tetapi terpaksa ditolak iaitu pada 2022 dan 2023 disebabkan masalah kewangan dan keluarga tidak mengizinkan.

“Namun doanya dimakbulkan apabila dipanggil sekali lagi tahun ini. Ahli keluarga termasuk cucu banyak membantu terutama dari segi kewangan hingga akhirnya saya juga dapat sampai ke sini,” katanya lagi.

Source :