Program digital bantu rakyat depani cabaran teknologi

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menyampaikan ucapan pelancaran Anjakan Strategi DigitalFirst di Putrajaya, hari ini. – FotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Digital akan melaksanakan beberapa program khusus bagi mendepani cabaran teknologi pada masa depan.

Menterinya, Gobind Singh Deo, berkata ia termasuk Program ‘Data untuk Rakyat’ dan ‘Keselamatan Siber untuk Rakyat’

Katanya, kementerian mahu berkongsi maklumat secara dua hala dan membuat penambahbaikan dalam sistem pendigitan pada masa akan datang.

“Bila kita kerap laksanakan program perbincangan dengan rakyat, kita boleh tahu rakyat faham atau tidak mengenai teknologi berkenaan.

“Saya mahu pastikan masyarakat faham dengan lebih mendalam apa sebenarnya yang dilaksanakan kerajaan, sekali gus mereka bersedia dengan cabaran mendatang untuk menggunakan teknologi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Anjakan Strategi Digital First (ASDF) di sini, hari ini.

Gobind berkata, pelaksanaan dua program itu adalah susulan kejayaan pihaknya melaksanakan program ‘AI untuk Rakyat’ membabitkan pembelajaran kendiri secara dalam talian untuk tempoh singkat.

“Ia menunjukkan ramai di luar sana tertarik dengan teknologi dan apa yang mereka perlukan untuk menggunakan teknologi dalam usaha menambah baik kehidupan,” katanya.

Semalam, sejuta rakyat Malaysia dilapor berjaya melengkapkan program ‘AI untuk Rakyat’ dengan sasaran dicapai lebih awal berbanding jangkaan.

Mengulas lanjut mengenai pelancaran ASDF, Gobind berkata, ia menggabungkan enam jalinan teras iaitu Minda Digital, Berpacukan Data, Berpaksikan Rakyat, Reka Bentuk Berteraskan Keselamatan, Tadbir Urus Digital serta Bakat dan Kemahiran.

Minda Digital mengutamakan cara berfikir dan bertindak menggunakan teknologi digital bagi menjana nilai, menyelesaikan masalah dan mencapai matlamat organisasi.

“Berpacukan Data memanfaatkan data dalam pembangunan inisiatif pendigitalan untuk merealisasikan sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, cerdas dan tangkas melalui perkongsian data merentas agensi.

“Teras ketiga iaitu Berpaksikan Rakyat menyediakan perkhidmatan digital bersepadu berdasarkan keperluan sasaran pengguna secara menyeluruh dan inklusif supaya tiada rakyat terpinggir.

“Reka Bentuk Berteraskan Keselamatan yang mengutamakan prinsip keselamatan secara menyeluruh dalam pembangunan inisiatif pendigitalan untuk mewujudkan dan menjamin keyakinan rakyat dalam berurusan dengan kerajaan dalam talian,” katanya.

Bagi teras kelima iaitu Tadbir Urus Digital, Gobind berkata, ia bertujuan mewujudkan peruntukan perundangan dan tata kelola jelas dalam pembangunan inisiatif pendigitalan bagi memastikan integriti kerajaan dan kebolehpercayaan rakyat.

“Teras terakhir iaitu Bakat dan Kemahiran bertujuan memupuk minat berterusan dalam usaha peningkatan bakat dan kemahiran aspek teknikal dan bukan teknikal seiring dengan perkembangan teknologi digital baharu.

“Kementerian Digital melalui Jabatan Digital Negara sudah melaksanakan pelbagai usaha proaktif termasuk mengadakan pelbagai siri libat urus secara berkala dengan Ketua Pegawai Digital di semua peringkat bagi memastikan pendigitalan di Malaysia berada pada tahap memuaskan,” katanya.

Source :