Peniaga beri alasan penyasaran subsidi diesel untuk jual LPG RM34 setong

KUALA LUMPUR – Sebuah premis di Bandar Bukit Puchong didapati menjual gas petroleum cecair (LPG) berkapasiti 14 kilogram (kg) dengan harga RM34 setong, melebihi kadar yang ditetapkan iaitu RM26 setong.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman berkata, pasukannya melakukan uji beli di premis tersebut susulan penularan dalam sebuah video baru-baru ini.

“Peniaga terbabit memberikan alasan penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lalu untuk menjual LPG melebihi harga kawalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ekoran itu, KPDN menyita LPG yang dijual premis berkenaan selain beberapa dokumen perniagaan bagi membantu siasatan di Bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Tambah beliau, peniaga berkenaan turut diberikan Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 akta yang sama agar mengemukakan maklum balas dalam tempoh lima hari berhubung tindakannya menjual LPG melebihi harga kawalan.

KPDN kini melaksanakan Ops Kesan 2.0 bagi menghadapi sebarang impak penyasaran subsidi diesel.

Ia bagi memastikan tiada elemen pencatutan berlaku dan mematuhi sepenuhnya perundangan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Berdasarkan statistik Ops Kesan 2.0 bermula 20 Mei sehingga 17 Jun 2024 sebanyak 993 premis telah diperiksa di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 209 Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta723 dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara.- MalaysiaGazette

Source :