Pemain import degil, tak dengar cakap punca prestasi NSFC buruk?

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) akan melakukan bedah siasat terhadap pasukan Liga Super susulan prestasi buruk dalam empat perlawanan termasuk satu dalam saingan Piala FA, musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus berkata, bedah siasat itu penting untuk mengenal pasti masalah yang berlaku selepas menyaksikan persembahan kurang bermaya dipamerkan.

“Setakat ini kita lihat kesepaduan dalam pasukan kurang memuaskan. Apabila ada pemain yang memberi pendapatnya sendiri, membuatkan perancangan jurulatih terjejas.

“Kita sedar pemain import yang kita ambil datang dari pelbagai latar belakang yang berbeza dan sepatutnya mereka mematuhi setiap perancangan dan arahan yang dibuat jurulatih, namun perkara itu tidak berlaku. Ia perlu diperbaiki.

“Saya lihat ini isu utama yang memberi impak kepada kualiti persembahan pasukan.

“Kita akan melakukan bedah siasat segera bagi menyelesaikan masalah ini kerana setiap pemain perlu mengikut kehendak jurulatih.

“Namun begitu, kita akan terus beri kepercayaan kepada ketua jurulatih, Azzmi Ab Aziz untuk mengubah nasib pasukan dalam perlawanan akan datang,” katanya di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, hari ini.

Menurut Faliq, walaupun adat permainan itu ada menang atau kalah, namun pihaknya tidak menjangka jumlah bolos yang diterima pasukan adalah tinggi iaitu 14 gol.

Negeri Sembilan memulakan aksi Liga Super musim ini dengan tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-3 disusuli tunduk kepada Selangor 0-4 dan 0-3 kepada KL City.

Pasukan itu juga tewas 0-4 kepada Selangor dalam saingan Piala FA.