Pickford diminta ubah taktik guna botol air

LONDON: Gary Lineker menegaskan Jordan Pickford mesti melupakan tipu helah menggunakan botol air minumannya sebagai ‘panduan’ sepakan penalti bagi baki saingan Euro 2024.

Penjaga gol England itu menyelamatkan sepakan Manuel Akanji ketika menang penentuan sepakan penalti ke atas Switzerland pada suku akhir.

Three Lions menyempurnakan semua lima sepakan penalti sekali gus memastikan tempat ke separuh akhir.

Selepas kemenangan itu, Pickford didapati menggunakan nota di botol air minumannya sebagai panduan ketika penentuan sepakan penalti itu.

Nota itu mempunyai senarai semua pemain Switzerland dan ke arah mana mereka sering melakukan sepakan penalti mereka.

Penjaga gol England, Jordan Pickford meraikan kemenangan menerusi penentuan penalti ke atas Switzerland bersama rakan sepasukannya pada suku akhir Euro 2024 di Duesseldorf. – Foto AFP
Penjaga gol England, Jordan Pickford meraikan kemenangan menerusi penentuan penalti ke atas Switzerland bersama rakan sepasukannya pada suku akhir Euro 2024 di Duesseldorf. – Foto AFP

Nama Akanji tertulis “rebahkan badan ke kiri”, yang menyaksikan Pickford menyelamatkan sepakan pemain pertahanan Manchester City itu.

Lineker kini mencadangkan penjaga gol Everton itu mengubah taktiknya.

Bekas penyerang England itu percaya lawan mereka pada masa depan mungkin akan cuba mencuri-curi untuk melihat nota itu jadi mereka boleh mengubah taktik sepakan penalti mereka.

Bercakap dalam podcast Rest is Football, beliau berkata: “Seorang pemain akan pergi melihat botol itu.

“Jika anda mendengar lakukannya secara berbeza, lakukannya di sekeping kertas berbeza atau lakukannya di palang gol.” – AGENSI