Bebaskan tebusan Israel bersyarat – Hamas

GAZA – Hamas menegaskan ia hanya akan menerima perjanjian pertukaran tahanan dengan Israel jika rejim zionis itu bersetuju dengan gencatan senjata penuh dan kemasukan bantuan ke Semenanjung Gaza.

“Kepulangan tawanan pendudukan (Israel) mempunyai tiga harga. Yang pertama adalah kelegaan rakyat kita dan kembalinya mereka kepada kehidupan normal.

“Yang kedua tamatkan pencerobohan, dan ketiga perjanjian membebaskan 10,000 banduan kami di penjara Israel,” menurut ahli biro politik Hamas, Khalil al-Hayya.

Beliau berkata, Israel enggan berundur dari Gaza dan enggan melepaskan pelarian Palestin.

Pada hari Sabtu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyifatkan cadangan Hamas mengenai gencatan senjata dan pertukaran tahanan sebagai “khayalan.”

“Netanyahu berundur minggu lalu apa yang telah dipersetujuinya dalam kertas Paris,” kata al-Hayya.

Menurut Anadolu yang memetik sumber Palestin, pada 7 Februari lalu, Hamas mencadangkan rancangan tiga peringkat untuk gencatan senjata Gaza yang merangkumi jeda 135 hari dalam pertempuran sebagai balasan kepada pembebasan tebusan.

Perjanjian rangka kerja asal telah diusahakan semasa mesyuarat Paris bulan lepas oleh pegawai tertinggi dari Amerika Syarikat, Israel, Qatar dan Mesir.

Israel percaya terdapat 134 warga Israel ditahan di Gaza selepas tentera berjaya membebaskan dua warga Israel yang ditahan di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. – Agensi

Sumber Dari :- Malaysia Gazette