Sindiket lombong bitcoin curi elektrik kegunaan 20 rumah

NIBONG TEBAL – Kelicikan sindiket bitcoin yang menjadikan sebuah kediaman teres dua tingkat di Simpang Ampat, di sini sebagai pusat melombong mata wang digital sejak enam bulan lalu terbongkar selepas diserbu Suruhanjaya Tenaga (ST) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini.

Bertindak atas risikan, kira-kira 20 anggota ST dan TNB melakukan serbuan bermula jam 10 pagi yang membawa kepada penemuan sindiket melakukan sambungan elektrik secara haram dengan mencatatkan arus elektrik tanpa meter kira-kira 30 Amp.

Pengarah ST Wilayah Utara, Muhamad Azmi Ishak berkata, tindakan sambungan elektrik secara haram itu bukan saja merugikan TNB malah turut mengundang 90 peratus risiko kebakaran susulan penyambungan itu tidak ikut spesifikasi.

Jelasnya, selain risiko kebakaran tindakan sindiket turut akan menjejaskan pengguna lain susulan arus elektrik yang digunakan itu sepatutnya untuk kegunaan 20 buah rumah.

“Kita percaya sindiket telah menukarkan modus operandi mereka dengan memilih kediaman elit untuk melakukan kegiatan melombong bitcoin susulan premis serta rumah kedai sering diserbu.

“Bagi Pulau Pinang, ini merupakan kes pertama membabitkan melombong bitcoin di rumah dan kegiatan sindiket ini mengundang risiko kebakaran disebabkan litar pintas kerana kegiatan itu berjalan 24 jam tanpa pengawasan.

“Malah, bagi mengaburi mata pihak berkuasa sindiket terbabit memasang meter elektrik seperti biasa konon untuk kegunaan rumah selain kawasan luar rumah dilengkapi peralatan seolah-olah ada keluarga menetap di situ,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Tambah Muhamad Azmi, pemeriksaan pihaknya juga mendapati sindiket menjadi bilik ditingkat atas sebagai lokasi melombong selain ia dilengkapi dengan dinding kedap bunyi bagi mengelak bunyi bising mesin tersebut didengari orang luar.

“Buat masa ini kita putuskan sambungan haram yang dilakukan dan pemilik rumah akan dipanggil bagi membantu siasatan susulan ketika serbuan rumah berkenaan tiada penghuni.

“Selain kediaman tersebut, kita turut menyerbu sebuah premis yang dijadikan lokasi melombong bitcoin kira-kira 500 meter daripada rumah berkenaan.

“Secara keseluruhan TNB menanggung kerugian RM132,000 disebabkan kegiatan tersebut sejak enam bulan lalu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Azmi berkata, sebanyak 94 kes kecurian elektrik bagi kegiatan melombong bitcoin dikenal pasti sepanjang tahun lepas di Pulau Pinang dengan nilai kerugian berjumlah RM22 juta kepada TNB. – MalaysiaGazette

Source :