MANCHESTER: Harry Maguire mengakui Manchester United masih naif dan menerima padah kerana agresif menyerang di minit-minit akhir sehingga tewas 2-1 kepada Fulham.
Peluang skuad kendalian Erik ten Hag untuk memburu tempat dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris terjejas selepas Alex Iwobi meledak gol kemenangan Fulham pada minit ketujuh masa kecederaan aksi di Old Trafford.
Pertahanan United, Maguire seakan berjaya menyelamatkan satu mata selepas meledak gol penyamaan minit ke-89 untuk memadamkan kelebihan jaringan pembukaan Fulham pada minit ke-65 menerusi Calvin Bassey.
Namun keghairahan United mencari gol kemenangan ketika pengadil memberikan masa kecederaan sembilan minit memakan diri apabila Iwobi melengkapkan serangan balas pantas untuk kemenangan pertama Fulham di Old Trafford sejak tahun 2003.
“Secara keseluruhan, kami tidak melakukan dengan baik dalam 60 minit pertama. Kami tidak memulakan permainan dengan baik.
“Babak pertama agak seimbang, tetapi apabila anda tidak memberikan persembahan terbaik, anda perlu melakukan perkara asas dengan betul.
“Apabila ketinggalan satu gol, saya rasa tindak balas kami cukup baik pada 30 minit terakhir dan berjaya menyamakan kedudukan.
“Tetapi kami mungkin naif di saat-saat akhir apabila terlalu ramai pemain naik untuk memburu gol dan terperangkap dengan serangan balas,” kata Maguire.
United di tangga keenam kini lapan mata di belakang Aston Villa yang menghuni tangga keempat. – AFP