JASIN – Seorang bayi lelaki berusia dua bulan yang dalam perjalanan ibadah akikah maut dalam nahas melibatkan enam kenderaan di Kilometer 184 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa, Mohamad Sufyan Mohamad Shahizwan yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia pada pukul 2.55 petang ketika sedang menerima rawatan di Hospital Melaka.
Ketua Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kemalangan melibatkan sebuah treler muatan kereta, lori, tiga buah kereta dan sebuah pacuan empat roda (4×4) yang sedang dalam perjalanan dari arah utara ke selatan.
“Tiba-tiba treler dipandu lelaki berusia 39 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah Perodua Ativa dinaiki empat sekeluarga termasuk bayi itu yang berada di lorong kiri.
“Akibatnya, mangsa bayi parah manakala pemandu berusia 35 tahun, isteri, 34 tahun dan seorang lagi anak lelaki mereka berusia tiga tahun tidak mengalami kecederaan.
“Treler itu turut merempuh empat lagi kenderaan iaitu sebuah lori, 4×4 jenis Ford Ranger, Perodua Myvi dan Mercedes Benz namun kesemua empat pemandu dan tiga penumpangnya selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Jamil ketika kejadian, empat sekeluarga itu sedang dalam perjalanan dari Putrajaya ke Kluang, Johor.
“Difahamkan mereka balik ke kampung untuk melakukan ibadah aqiqah bagi menyambut kelahiran bayi berusia dua bulan itu.
“Polis juga sudah mengambil sampel darah pemandu treler untuk analisa kimia bagi memastikan ada atau tidak kandungan alkohol,” katanya.
Jelasnya, ujian saringan air kencing bagaimanapun belum dapat dilakukan kerana pemandu terpaksa ditahan di hospital akibat tekanan darah rendah.
Kes disiasat di bawah Sek 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette