Wakil KPDN dan Astro pada sidang media di Dewan Bunga Raya, Pejabat KPDN Kuala Lumpur. -Foto Astro
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berganding bahu bersama Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) menjalankan program advokasi bagi meningkatkan kesedaran pemilik perniagaan makanan dan hiburan berhubung Akta Hak Cipta 1987.
Melalui program itu, KPDN Kuala Lumpur disertai wakil Astro melakukan pemeriksaan dan pemantauan terhadap sejumlah premis perniagaan di Kepong.
Hasil pemeriksaan pada Sabtu mendapati hampir 70 peratus pemilik perniagaan terbabit disyaki menayangkan kandungan Astro tanpa menggunakan lesen yang sewajarnya untuk premis komersial.
Menurut Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin, tindakan yang diambil adalah dengan memberikan nasihat kepada premis-premis berkenaan tentang pelanggaran perundangan di bawah Akta Hak Cipta 1987.
“Pemeriksaan dan pemantauan susulan akan dilakukan pada lain masa. Sekiranya premis berkenaan itu didapati bersalah, ia boleh disiasat di bawah Seksyen 43AA(1) Akta Hak Cipta 1987.
“Tindakan pemeriksaan bersama pihak Astro ini amat penting dalam memastikan harta intelek melalui hak cipta ini dilindungi dan tidak dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab agar tidak timbul isu di kemudian hari.
“Di bawah akta ini juga, premis yang terbabit boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM200,000 atau dipenjarakan bagi suatu tempoh yang tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas Program Advokasi Kepenggunaan di Dewan Bunga Raya, Pejabat KPDN Kuala Lumpur.