Kebakaran berlaku melibatkan sebuah MPV dan sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan sebuah rumah di Taman Utama, Bercham, di Ipoh, hari ini, mengakibatkan sepasang suami isteri melecur. – Foto JBPM Perak
IPOH: Sepasang suami isteri melecur dalam kebakaran melibatkan dua buah kenderaan yang diletakkan di hadapan sebuah rumah di Taman Utama, Bercham di sini, hari ini.
Mangsa lelaki berusia 60 tahun dan wanita berusia sekitar 50-an melecur hampir keseluruhan badan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 10.20 pagi.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dikejarkan ke lokasi melibatkan 10 orang anggota.
“Setibanya di lokasi, kita mendapati kebakaran melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah motosikal serta menemui dua mangsa mengalami kecederaan melecur tahap satu.
“Kebakaran telah berjaya dipadamkan dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) oleh ambulans,” katanya dalam kenyataan di sini.
Operasi yang diketua Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Redzuan Chik ditamatkan jam 11.43 pagi.