Esok seluruh umat Islam akan berpuasa sekali gus memasuki ambang Ramadan yang penuh keberkatan dan dijanjikan ganjaran pahala tidak terbatas dalam tempoh menyempurnakan ibadah itu.
Di Malaysia, bulan puasa ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam kerana selain berpeluang untuk menggandakan ibadat dan pahala, Ramadan juga diraikan dengan cara berbeza serta lebih meriah.
Masyarakat negara termasuk bukan Islam seolah-olah menunggu ketibaan bulan ini kerana dalam tempoh itu kemeriahan bazar menjual pelbagai juadah dan persiapan hari raya berlangsung, sekali gus melonjokkan nama Malaysia sebagai salah satu .destinasi Ramadan terbaik dunia.
Paling dirindui ada sesetengah tempat suasana hening pagi bakal dikejutkan irama ‘ketuk-ketuk sahur’ yang menjadi amalan tradisi membangunkan warga penduduk bersahur, malamnya mengimarahkan masjid dipenuhi jemaah untuk iftar dan solat tarawih.
Turkiye gendang, berarak di jalanan
Sebenarnya, kemeriahan meraikan Saiyidus Syuhur atau penghulu sekalian bulan ini bukan sekadar di Malaysia, tetapi di negara-negara Islam di dunia ini juga menyambutnya dengan cara berbeza.
Turkiye menjadi negara Islam paling terkenal di dunia menyambutnya dengan paluan gendang supaya menyedarkan umat Islam di situ bangun bersahur.
Lebih 2,000 pemain gendang akan memakai pakaian tradisi empayar Uthmaniah termasuk vest serta rompi bercorak kebudayaan berarak di atas jalan sebelum subuh menjelang.
Tradisi ini dikatakan berlangsung sejak zaman Khalifah Uthamaniah kerana ketika, jam atau penggera tidur masih belum dicipta.
Tradisi Ramadan ini diiktiraf kerajaan Turkiye memperkenalkan kad keahlian kepada pemain gendang, sekali gus menggalakkan ramai anak muda terus menyambung tradisi menarik ini.
UAE sambut Haq Al Laila
Negara kaya raya, Emeriah Arab Bersatu (UAE) pula meneruskan tradisi yang dipanggil ‘Haq Al Laila’ pada tarikh 13, 14 dan 15 Ramadan.
Tradisi yang bermula di Bahrain itu menjadi aktiviti paling dinanti-nantikan kanak-kanak yang akan dibiarkan berkeliaran di sekitar kawasan kejiranan, berpakaian cerah dan mengumpul manisan seperti gula-gula.
Menariknya, mereka akan menyanyikan lagu-lagu tradisional tempatan sambil melaungkan bait-bait lama seperti ‘Aatona Allah Yutikom, Bait Makkah Yudikum’ atau diterjemahkan sebagai ‘Berikan kepada kami dan Allah akan memberi ganjaran kepada anda dan membantu anda mengunjungi Rumah Allah di Mekah’
Tradisi ini kini disambut di seluruh negara Teluk sekali gus menonjolkan kepentingan ikatan sosial dan nilai kekeluargaan yang kukuh.
Pakistan raikan ‘Chaand Raat’
Pakistan juga meraikan kehadiran Ramadan dengan berbeza apabila tradisi ‘Chaand Raat’ disambut ketika pengakhiran Ramadan dan ketibaan 1 Syawal.
Melalui tradisi ini, wanita biasanya akan ke pasar-pasar tempatan untuk membeli berutas-utas gelang berwarna-warni. Malah mereka juga melukis tangan dan kaki mereka dengan Inai.
Pemilik kedai pula akan menghias kedai mereka dengan indah dan turut membukanya sehingga subuh.
Mesir hias jalan dengan fanoos
Di Mesir, masyarakat di negara itu akan menghias jalan-jalan dengan tanglung atau ‘fanoos’ untuk menerangi kegelapan sepanjang bulan suci itu.
Tanglung itu disimbolikkan sebagai perpaduan dan kegembiraan, namun mengikut sejarah ‘fanoos’ Islam, ia bermula apabila Khalifah Kerajaan Fatimiyah, Moaezz El-Din El-Allah tiba di Kaherah buat kali pertama pada hari kelima Ramadan, tahun 358 Hijrah (969 Masihi).
Ia dikatakan masuk pada waktu selepas senja dan penduduk menyambutnya dengan membawa lilin. Lilin itu dibingkaikan untuk mengelakkan ia terpadam ditiup angin dan sejak itu tradisi itu diteruskan.
India amalan zikir dikenali Seheriwalas
India, walaupun mempunyai masyarakat Islam minoriti namun sambutan turut diraikan meriah oleh penduduk beragama Islam.
Ramadan diraikan dengan umat Islam berjalan di sekitar bandar pada awal pagi dan berzikir serta bermunajat di sepanjang jalan, dikenali sebagai Seheriwalas.
Mereka membawa tongkat untuk mengetuk pintu umat Islam lain dengan tujuan membangunkan mana-mana orang Islam yang tidur pada waktu sahur.
Seheriwala ialah tradisi turun-temurun dan diwarisi daripada budaya bandar Mughal. Ia juga dikenali sebagai Zohridaars di Delhi
Maghribi tiup hon bangunkan penduduk
Penduduk di Maghribi juga mempunyai tradisi seakan-akan sama di negeri Asia Barat untuk mengejutkan umat Islam bangun bersahur.
Namun, seorang lelaki yang digelar sebagai Nafar dipertanggungjawabkan untuk meniup hon untuk membangunkan penduduk setempat. Nafar juga lengkap berpakaian tradisional Maghribi.
Lebih membanggakan pemilihan Nafar diadakan teratur kerana orang yang dipilih perlulah bersifat jujur dan empati.
Tradisi Ramadan di negara itu bermula pada abad ketujuh apabila seorang sahabat Nabi Muhammad SAW akan berkeliaran di jalanan pada waktu subuh sambil menyanyikan doa yang merdu.
Syria tembakan meriam, Midfa al Iftar
Negara bergolak Syria juga mempunyai tradisi sambutan yang unik apabila tembakan meriam dilepaskan ketika waktu berbuka puasa berlangsung.
Tradisi yang dikenali sebagai Midfa al Iftar dikatakan bermula di Mesir sekitar lebih 200 tahun lalu, sewaktu negara itu ditadbir oleh pemerintah Uthmaniyyah, Khosh Qadam.
Ketika menguji meriam baru pada waktu matahari terbenam, Qadam secara tidak sengaja melepaskan tembakan meriam lalu bunyi itu bergema di seluruh Kaherah.
Orang awam menganggap sebagai cara baharu menandakan berakhirnya tempoh berpuasa. Negara lain seperti Syria dan Lubnan kemudiannya turut mengamalkan tradisi itu.
Indonesia tradisi jendera
Jendera Ramadan negara jiran, Indonesia juga menarik dengan tradisi tersendiri dalam meraikan ketibaan Ramadan antaranya melalui Padusan (mandi) di mana sesetengah umat Islam melakukan tradisi ‘membersihkan diri’ pada hari sebelum Ramadan.
Menurut tradisi ini, masyarakat Islam khususnya di Jawa Tengah dan daerah Yogyakarta berendam atau mandi di sumur air, sebagai simbolik untuk menyucikan jiwa raga dalam menyambut hadirnya Ramadan.
Walaupun pada asasnya ia hanya bertujuan untuk menyucikan diri namun tradisi ini mempunyai makna yang lebih mendalam iaitu merenung serta menginsafi kesalahan-kesalahan yang dilakukan pada masa lalu.
Difahamkan, Wali Songo, pendakwah terkenal di Jawa, adalah individu pertama yang menyebarkan tradisi Padusan.
Kembalikan tradisi Ramadan di Palestin
Lima bulan berlalu dan 30,000 nyawa diragut akibat serangan kejam zionis Israel, kini membawa kepada situasi yang samar buat lebih empat juta penduduk Palestin.
Ramadan tahun ini juga menjadi episod paling memilukan untuk penduduk di tanah yang diberkati ini apabila negara itu dilihat sudah hancur hampir sepenuhnya dan penduduknya terpaksa hidup dalam keadaan melarat kerana sekatan demi sekatan diadakan Israel.
Seperti mana negara Muslim lain, rakyat Palestin juga menyambut jendela Ramadan dengan penuh keberkatan dan meraikannya dengan pelbagai tradisi lama yang masih dipegang sehingga kini.
Antara tradisi indah dipegang Palestin adalah ketua atau wakil keluarga akan memberikan hadiah kepada saudara perempuan dalam tempoh Ramadan berlangsung. Ia sering dilakukan selepas waktu bersahur berakhir.
Palestin juga mempunyai tradisi untuk mengejutkan orang ramai bersahur di mana seorang sukarelawan digelar Al-Musaharati bertanggungjawab untuk berbuat demikian dengan memalu gendang, berzanji dan doa yang indah supaya umat Islam bangun dan merasai kemanisan bulan suci.
Al-Musaharati akan memakai jubah tradisional Palestin lengkap dengan keffiyeh hitam putih dan memakai tarbus merah di kepala.
Walaupun tradisi ini dikaburi dengan penggera di telefon atau jam loceng, namun kanak-kanak masih menanti-nanti Al-Musaharati, menunggu di hadapan pintu rumah sambil memegang tanglung.
Selain itu, bumi Palestin juga akan dihiasi dengan dekorasi menawan khususnya di jalan-jalan sekitar sekitar Baitulmagdis lama.
Hidangan tradisional seperti maqlooba, maftoul, mansaf dan pencuci mulut kadayif atau pastri cincang yang dibakar dalam ketuhar dengan isi kacang pistachio disiram sirap pekat.
Tahun ini, ibadah rakyat Palestin di Masjid al-Aqsa akan melalui perbezaan dengan pejabat Benjamin Netanyahu memberi jaminan untuk jemaah menunaikan ibadah itu di perkarangan masjid pada minggu pertama Ramadan.
Pada tahun sebelumnya, Israel hanya membenarkan wanita dan kanak-kanak dari Tebing Barat memasuki Baitulmaqdis tanpa permit serta lelaki berusia antara 45 dan 55 tahun mempunyai permit, sewaktu Ramadan.