Tiga perompak Geng Centro ditembak mati

KUANTAN: Tiga penjenayah warga asing dikenali Geng Centro ditembak mati oleh polis di Kilometer 17 Jalan Pekan-Kuantan, malam tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata tiga penjenayah yang mati itu masing-masing dua warga Vietnam dan seorang Bangladesh berumur antara 34 dan 44 tahun.

Katanya, berdasarkan laporan, kejayaan itu hasil kerjasama pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dan Pahang yang mengesan sebuah kereta Proton Waja yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan Lembaga Kemajuan Negeri Pahang, Pekan pada jam 11.30 malam.

“Polis kemudiannya bertindak memperkenalkan diri sebagai polis bagi tujuan pemeriksaan tetapi suspek sebaliknya bertindak memecut kenderaan.

“Setibanya di tempat kejadian, kereta suspek menghimpit dan melanggar belakang kenderaan polis menyebabkan kenderaan itu berhenti.

“Ketika hendak melakukan pemeriksaan suspek secara tiba-tiba melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

“Bagi tujuan mempertahankan diri, polis membalas tembakan sehingga tiga penjenayah di dalam kereta tumpas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini, hari ini.

Yahaya berkata, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menemukan sepucuk pistol jenis Glock 17 beserta enam butir peluru di dalam megazine’ dan sebutir di dalam chamber’ serta tiga kelongsong peluru.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan peralatan lain iaitu dua mesin pencanai, dua mesin penebuk, dua bilah parang, dua set nombor pendaftaran, satu kuku kambing dan tukul besi.

“Dengan tumpaskan Geng Centro ini, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun dan pecah masuk kedai emas iaitu masing-masing tiga kes di Perak dan satu di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang yang dipercayai dilakukan penjenayah sejak Jun 2023.

“Siasatan juga mendapati suspek warga Bangladesh memiliki lesen memandu yang sah dan dipercayai sudah lama menetap di Malaysia.

“Kereta digunakan geng ini juga milik suspek warga Bangladesh manakala dua lagi suspek warga Vietnam pula sering keluar masuk ke negara ini.

“Kita percaya geng ini tidak hanya membabitkan tiga suspek ini dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Modus operandi yang dilakukan penjenayah ini ialah dengan menyerang dan menyamun mangsa menggunakan kekerasan.

“Selain itu suspek juga memecah masuk kedai emas melalui pintu hadapan atau belakang serta menebuk peti besi menggunakan mesin pencanai sebelum melarikan barang kemas dengan jumlah keseluruhan kerugian melebihi RM4 juta,” katanya.

tamat

From: Asrol

Kredit: Berita Harian