KUALA TERENGGANU: Cubaan pihak tertentu menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin yang pernah menggemparkan negara dengan ‘Kerajaan Langit’ dalam perhatian kerajaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
“Dalam makluman dan sedang dalam tindakan pihak berwajib,” katanya ringkas kepada Bernama ketika hubungi mengenai dakwaan cubaan menghidupkan semula ajaran sesat itu di sekitar Besut.
Terdahulu, sebuah hantaran di akaun Facebook ‘Imam Muda Kulan’ mendedahkan ajaran Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad cuba dihidupkan kembali oleh gerakan pihak-pihak tertentu di sekitar Besut.
Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada tahun 1997 mengeluarkan fatwa bahawa ajaran berkenaan sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986.
Pada April 2005, Pejabat Tanah Daerah Besut mengeluarkan notis merobohkan beberapa premis dan replika gergasi di markas Ayah Pin yang mempunyai pengikut seramai lebih 150 orang.
Ariffin meninggal dunia pada 22 April 2016 ketika berusia 74 tahun di rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut akibat sakit tua. – BERNAMA