Tak perlu risau, perkampungan Ayah Pin terkawal – polis

Tinjauan di penempatan Ayah Pin di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu hari ini mendapati kawasan berkenaan tiada sebarang aktiviti mencurigakan dengan pergerakan keluar masuk di kawasan berkenaan hanya membabitkan ahli keluarga kepada pemimpin ajaran sesat itu. – Foto NSTP/Ghazali Kori

KUALA TERENGGANU: Aktiviti di perkampungan Ayah Pin di Kampung Batu 13, Besut terkawal dan tidak menjejaskan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya memantau rapat perkembangan di situ susulan laporan media mengenai dakwaan ada usaha menghidupkan kembali ajaran berkenaan.

“Setakat ini, aktiviti di perkampungan Ayah Pin di Kampung Batu, 13 Besut masih terkawal dan tidak mendatangkan implikasi kepada keselamatan penduduk setempat.

“Pihak polis sentiasa memantau ajaran Ayah Pin dan ajaran-ajaran sesat yang lain di negeri Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, satu hantaran pada akaun Facebook ‘Imam Muda Kulan’ mendakwa ajaran Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad, cuba dihidupkan kembali oleh pihak tertentu di sekitar Besut.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebelum ini mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan diwartakan haram pada 1997.

Mazli menasihatkan orang ramai supaya tidak gusar dengan perkembangan berkenaan.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan isu keselamatan boleh hadir ke mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

Source :