Api berjaya dipadam sepenuhnya oleh pihak bomba pada jam 2.30 pagi dan operasi dihentikan pada jam 3.30 pagi tadi. – Foto Facebook/Outdoor Team Malaysia
Kebakaran kawasan hutan di puncak Bukit Broga, Semenyih pada malam Ahad telah berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Menurut Komander Operasi, Pgkb I, Shahrin Yusmar Mat Yusof, api berjaya dipadam sepenuhnya oleh pihak bomba pada jam 2.30 pagi dan operasi dihentikan pada jam 3.30 pagi tadi.
Katanya, laporan kejadian diterima pada jam 7.39 malam tadi, sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Semenyih bersama enam anggota dan satu jentera FRT ke lokasi untuk memadam kebakaran.
Sejumlah 28 pegawai dan anggota dari zon 4 Selangor, Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Semenyih, Bangi dan Ampang telah dikerahkan ke lokasi untuk membantu memadam kebakaran.
Manakala dua unit FRT dan satu unit jentera perkhidmatan perubatan kecemasan (EMRS) turut digerakkan bagi membantu kelancaran operasi pemadaman api.
Menurut laporan, kebakaran mudah merebak ke beberapa tompok-tompok api disebabkan tiupan angin di sekitar bukit.
Juga dilaporkan, tiada akses kenderaan untuk ke lokasi kebakaran menyebabkan anggota bomba perlu memanjat sekitar 45 minit ke puncak bukit menghampiri lokasi kebakaran.
Pemadaman juga giat dijalankan dengan menggunakan ‘fire beater’ berikutan ketiadaan sumber air bagi menyekat kemerebakan api di sekitar lokasi kebakaran.
Namun tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.