Cuaca panas Tahap 1: KKM nasihat KPM tangguh aktiviti luar bilik darjah

Pemandangan Kuala Lumpur semasa matahari terbit ketika tinjauan foto Bernama di Bukit Tunku, semalam. Cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka berkekalan hingga pertengahan April kerana kekurangan awan yang boleh membawa hujan serta fenomena ekuinoks. – foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan buat sementara waktu di lokasi yang merekodkan status cuaca panas Tahap 1.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abdu Hassan, berkata jika cuaca panas terus berpanjangan sehingga bertukar status gelombang haba, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengambil tindakan selanjutnya antaranya dengan menutup institut pendidikan di bawah kelolaannya.

“Sekiranya status cuaca bertukar kepada status gelombang haba, tindakan selanjutnya boleh diambil oleh KPM sebagaimana Pelan Tindakan Bagi Menangani Gelombang Haba 2016, Pelan Tindakan Pengurusan Risiko Kesihatan Gelombang Haba 2021 yang dikeluarkan KKM.

“Ia termasuk Garis Panduan Penutupan Institusi Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Semasa Cuaca Panas yang dikeluarkan pada 18 April 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

CUACA PANAS... Para pelancong yang mengunjungi Lebuh Armenian di sini menggunakan payung untuk berteduh dari cuaca panas yang kini melanda di negara ini. METMalaysia dalam kenyataan berkata cuaca panas dengan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius juga dijangka berlarutan selama tiga hari berturut-turut di kebanyakan daerah di negeri Kedah dan Pulau Pinang. - foto BERNAMA

CUACA PANAS… Para pelancong yang mengunjungi Lebuh Armenian di sini menggunakan payung untuk berteduh dari cuaca panas yang kini melanda di negara ini. METMalaysia dalam kenyataan berkata cuaca panas dengan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius juga dijangka berlarutan selama tiga hari berturut-turut di kebanyakan daerah di negeri Kedah dan Pulau Pinang.

Source :
Bernama