Murid perempuan terpaksa gendong adik dalam kelas

TANGKAP layar daripada tular video memaparkan murid perempuan memegang adiknya ketika dia belajar di dalam kelas.

Jakarta: Seorang kanak-kanak yang juga murid tahun tiga di Madrasah Ibtidaiyah Maddakko, Daerah Sinjai, Sulawesi Selatan, terpaksa menggendong adiknya ketika belajar di sekolah, lapor portal suara.com.

Ia susulan tular video memaparkan seorang murid perempuan yang memakai uniform merah putih, memangku adiknya ketika dia belajar di dalam kelas.

Video dimuat naik di TikTok itu menunjukkan murid yang dikenali sebagai Nuraeni itu terpaksa membawa bersama adiknya yang baharu berusia setahun ke sekolah, kerana ayahnya bekerja sebagai petani.

Difahamkan, bapanya perlu ke sawah setiap hari untuk menampung keperluan keluarga.

Pengetua Madrasah Ibtidaiyah Maddakko, Mumaenah berkata, ibu Nuraeni sudah meninggal dunia empat bulan lalu.

“Ibunya meninggal dunia kira-kira empat bulan lalu akibat barah tekak. Tidak ada orang yang menjaga bayi itu,” katanya.

Mumaenah berkata, sejak ibu kepada Nuraeni meninggal dunia, kanak-kanak itu terpaksa menjaga adiknya, Akbar, selain perlu membawa bayi itu ke sekolah.

“Pihak sekolah tidak mempunyai masalah dengannya. Pihak sekolah juga bertolak ansur dengan keadaan Nuraeni. Bagi kami, tidak mengapa daripada (dia) tak pergi sekolah.

“Bayi itu juga senyap saja. Cuma, kalau nak tidur saja dia akan menangis. Jadi, kakaknya akan membiarkan dia tidur sambil belajar,” katanya.

Mumaenah berkata, Nuraeni seorang pelajar yang bijak dan aktif di dalam kelas.

Difahamkan, sebelum ini, Nuraeni berhenti sekolah kerana terpaksa menjaga ibunya yang menghidap kanser.

Situasi itu menyebabkan pihak sekolah tidak mahu Nuraeni berhenti sekolah.

“Sebab itu, kita mahu dia ke sekolah sebab dia pandai. Kita cuba pastikan dia boleh terus ke sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa daerah akan mencari jalan penyelesaian supaya Nuraeni dapat bersekolah dengan selesa, sama seperti kanak-kanak lain.

Susulan video itu, banyak pihak menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak itu seperti Gabenor Sulawesi Selatan, Andi Sudirman Sulaiman.

Source :