Saarani berkata, sama ada disengajakan atau tidak, UMNO Perak menuntut tindakan sekeras-kerasnya terhadap KK Mart yang menjual stoking tertera kalimah Allah. – Gambar fail/BERNAMA
IPOH: UMNO Perak menyokong sepenuhnya kempen Pemuda UMNO Malaysia untuk memboikot perniagaan KK Mart sebagai tanda bantahan dan solidariti umat Islam dalam isu stoking tertera kalimah Allah.
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pendirian itu penting dalam memberi pengajaran dan amaran keras kepada semua pihak bahawa kesucian Islam tidak sama sekali boleh diperkotak-katikkan.
about:blank
Bagaimanapun, jelasnya, UMNO Perak mengingatkan supaya setiap ahli UMNO kekal menjaga adab dan akhlak sebagai umat Islam yang bertindak berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.
Saarani berkata, ia penting untuk terus menjaga kesucian Islam yang merupakan sebahagian ikrar perjuangan UMNO pertahankan selama ini.
“Badan Perhubungan UMNO Perak menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah menzahirkan dukacita berhubung penjualan stoking bertulis kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.
“Dan mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah berdasarkan siasatan pihak berkuasa.
“UMNO Perak senada dalam hal ini, dan mendesak agar polemik ini perlu dihentikan segera dengan mengenakan tindakan yang keras kepada pihak yang bersalah.
“Ia demi memberi pengajaran berguna buat rakyat Malaysia supaya lebih peka dan berwaspada dalam isu sensitif terutama melibatkan agama,” katanya dalam kenyataan semalam.
Katanya, kalimah Allah merupakan kalimah tertinggi bagi umat Islam.
Justeru itu, sama ada disengajakan atau tidak, UMNO Perak menuntut tindakan sekeras-kerasnya diambil.
“Sesungguhnya, kejadian ini merupakan satu penghinaan kepada kesucian Islam yang merupakan agama Persekutuan yang dianuti oleh orang Melayu.
“UMNO Perak juga ingin menzahirkan kekhuatiran jika tindakan yang sepatutnya diambil adalah lewat, akan mencetuskan perbalahan antara kaum.
“Melihat reaksi orang Islam dalam isu, keadaan ini boleh melarat jika tanpa tindakan yang tuntas,” tambahnya.