KENINGAU: Dua beranak maut manakala lima lagi termasuk ibu dan empat anak mereka parah selepas kenderaan mereka naiki terbabit kemalangan dengan sebuah pikap di Jalan Apin-Apin, tengah malam tadi.
Mangsa yang maut iaitu pemandu kenderaan jenis Toyota Avanza, Masino Gelong, 45, dan anaknya, Claeryina Mecthildis Masino, 4.
Mangsa yang parah iaitu isteri kepada Masino iaitu Chelrina Philip, 33, dan empat lagi anaknya iaitu Mattheo Charbel, 2, Mica Chelsino, 7, Charlene Myra, 9, dan Camellia Mae, 11.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 12.22 tengah malam.
“Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Toyota Avanza dan Nissan Navara. Terdapat tujuh mangsa dalam Toyota Avanza.
“Seorang kanak-kanak dan lelaki dewasa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tiga mangsa di dalam kenderaan Nissan Navara dilaporkan cedera.