KAHERAH: Tentera Israel mengepung dua lagi hospital di Gaza, hari ini, sehingga menyebabkan petugas perubatan terperangkap dalam pertempuran senjata api yang sengit, menurut Bulan Sabit Merah Palestin.
Malah, Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan seorang daripada kakitangannya terbunuh apabila kereta kebal rejim Zionis tiba-tiba memasuki kawasan sekitar Hospital Al-Amal serta Hospital Nasser di selatan bandar Khan Younis ketika keadaan genting dengan serangan tembakan dan pengeboman bertubi-tubi.
“Pasukan berperisai Israel telah menutup Hospital Al-Amal dan melancarkan operasi meluas dengan menggunakan jentolak di dalam kawasan sekitarnya.
“Ketika ini, seluruh pasukan kami berada dalam keadaan amat berbahaya dan langsung tidak dapat bergerak,” kata Bulan Sabit Merah Palestin dalam satu kenyataan.
Menurutnya, tentera Israel kini mengarahkan evakuasi sepenuhnya dari premis Hospital Al-Amal membabitkan kakitangan, pesakit dan penduduk yang berlindung di sana selepas kehilangan tempat tinggal.
Malah, katanya, pasukan rejim Zionis turut melepaskan bom asap ke dalam kawasan berkenaan untuk memaksa mereka keluar.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan di Gaza memaklumkan, puluhan pesakit dan petugas perubatan ditahan oleh pasukan Israel di Hospital Al Shifa di Gaza City.
Hospital Al Shifa kini separa beroperasi di utara Gaza, dengan turut menempatkan orang awam yang berlindung selepas kehilangan tempat tinggal akibat peperangan.
Pasukan Israel pula mendakwa telah menangkap 480 pejuang dalam pertempuran berterusan di Hospital Al Shifa.
Rejim Zionis menuduh hospital-hospital di Semenanjung Gaza menjadi kubu pejuang Hamas untuk pangkalan serta tempat penyimpanan senjata. Bagaimanapun, Hamas dan petugas perubatan menafikan tuduhan berkenaan.
Bahkan, tentera Israel mendakwa bahawa pasukannya menyerang ‘infrastruktur’ di Khan Younis yang dikatakan menjadi tempat pejuang berkumpul.
Namun, Hamas menegaskan pihaknya tidak menggunakan hospital untuk tujuan ketenteraan, sebaliknya menuduh Israel melakukan jenayah perang dengan menyasarkan orang awam.
Reuters bagaimanapun tidak dapat mengakses kawasan hospital yang diperkatakan di Gaza, sekali gus tidak dapat mengesahkan dakwaan kedua-dua pihak.
Dalam pada itu, penduduk Khan Younis berkata, kereta kebal Israel mara ke kawasan kejiranan barat berhampiran Hospital Nasser yang bergelut dengan serangan bertubi-tubi dari udara dan darat.
Di Rafah yang menjadi tempat ‘perlindungan terakhir’ kepada separuh penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal pula, tujuh mangsa terkorban akibat serangan udara Israel ke atas sebuah rumah, kata pegawai kesihatan.
Hari ini, Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan sekurang-kurang 32,226 rakyat Palestin telah terbunuh, termasuk 84 dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 74,518 lagi cedera akibat serangan udara dan darat yang dilancarkan berterusan oleh Israel sejak 7 Oktober tahun lalu. – REUTERS