Ibu, anak perempuan hilang dikhuatiri lemas belum ditemui

KUALA LUMPUR – Seorang wanita berusia 38 tahun dan anak perempuannya berumur empat tahun masih belum ditemui selepas dipercayai lemas di sebuah sungai berhampiran Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan dua mangsa berkenaan merupakan antara lima beranak warga Indonesia yang terlibat dalam kejadian air pasang di kawasan Saliran Longkang Monsun (Monsoon Drain).

Jelas beliau, sebelum kejadian, lelaki berusia 40 tahun bersama isterinya dan tiga anaknya memancing ikan di kawasan berkenaan kira-kira jam 3.30 petang.

Bagaimanapun katanya, air mulai deras selepas hujan bermula 5 petang mengakibatkan tiga anaknya dan isterinya hanyut.

“Sebenarnya kawasan ini bukan kawasan memancing tapi ada yang mengambil kesempatan cari rezeki lebih macam lelaki ini memancing di sini dan hasil sebelum ini dijual di pasaran.

“Pada ketika itu keadaan masih tidak hujan air tidak cetek jadi mengikut suami yang selamat dalam kejadian ini, beliau bersama keluarga ke sini dua, tiga kali.

“Hari ini mereka hadir untuk aktiviti memancing dalam jam 5 hujan dan air deras dari kawasan itu menyebabkan mereka yang berdiri di atas simen telah jatuh di dalam air kerana Monsun Drain satu tahap aia akan jadi dalam lima hingga empat kaki,” katanya ketika sidang media di lokasi Mencari dan Menyelamat (SAR).

Katanya, selain suami, anak kedua pasangan itu yang berusia sembilan tahun selamat.

Manakala anak sulung berusia 10 tahun ditemui mati sejauh 1 kilometer (km) dari lokasi kejadian.

“Pada 5.30 petang anak kedua dijumpai dalam keadaan selamat kerana mungkin sempat melarikan diri daripada air deras seterusnya naik ke sebelah kanan dan kemudian dijumpai orang awam seterusnya menyerahkannya kepada pihak penyelamat,” jelasnya.

Katanya mayat dihantar di Hospital Serdang selepas proses pengecaman sebentar tadi.

Dalam pada itu kata Anbalagan, operasi SAR terpaksa ditangguhkan malam ini dan akan diteruskan semula pada jam 7 pagi esok kerana keadaan yang tidak mengizinkan.-MalaysiaGazette

Source :