Ribut kuat ragut 5 nyawa, lebih 100 cedera di Bengal Barat, India

NEW DELHI: Ribut kuat mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan lebih 100 lagi mangsa di daerah Jalpaiguri, Bengal Barat, timur India semalam.

Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee, berkata ribut itu turut merosakkan rumah, menumbangkan pokok dan memutuskan talian elektrik.

“Ribut melanda hanya sekitar 10 minit, namun banyak rumah rosak manakala lima mangsa maut dan dua cedera parah,” katanya selepas melawat kawasan bencana pada malam Ahad.

“Pihak kerajaan akan memberikan pampasan kepada waris mereka yang terkorban,” katanya.

Dua kanak-kanak dalam kalangan yang cedera dipindahkan ke Kolej Perubatan Bengal Utara dalam keadaan kritikal pada malam Ahad.

Ramai mangsa lain masih dalam rawatan di Hospital Daerah Jalpaiguri akibat ribut kencang yang turut merobohkan rumah selain mengheret motosikal dan kereta selain kesan ribut turut dirasai di daerah jiran Jalpaiguri iaitu Coochbehar dan Alipurduar.

Rajarhat, Bakali, Jorpakdi, Saptibari, Barnish, dan Madhabdanga adalah antara wilayah yang paling terjejas di Jalpaiguri, kata pegawai sambil menambah beberapa ekar tanah pertanian dan tanaman mengalami kerosakan.

Kira-kira 370 kilometer (km) ke timur Jalpaiguri, sebahagian daripada siling di lapangan terbang Guwahati di negeri Assam, pintu masuk ke timur laut India, runtuh akibat hujan lebat pada Ahad.

Bahagian bumbung lapangan terbang yang runtuh itu sudah lama dan tidak dapat menahan kesan hujan lebat dan ribut secara tiba-tiba, kata seorang pegawai lapangan terbang.

“Silingnya pecah dan air mula mengalir ke dalam. Bagaimanapun, tiada kecederaan dan semuanya terkawal,” kata pegawai kanan lapangan terbang, Utpal Baruah, kepada media tempatan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Lokapriya Gopinath Bordoloi di Guwahati diuruskan oleh konglomerat utama India, Adani Group. – AGENSI