KUALA LUMPUR – Seorang suspek lelaki warga Israel bernama Shalom Avitan dan pasangan suami isteri warga tempatan yang ditahan atas kesalahan memiliki dan membekalkan senjata api bakal berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan mereka.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia berikutan pihaknya membuka kertas siasatan terhadap ketiga-tiga suspek itu di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Sebelum ini, ketika Shalom ditangkap pada 27 Mac lalu, siasatan dijalankan mengikut Akta Pasport 1966 kerana dia sebagai warga Israel memasuki negara ini menggunakan pasport kewarganegaraan Perancis yang dimilikinya.
“Bagaimanapun, siasatan kini dijalankan terhadap kesalahan lebih berat melibatkan mereka bertiga iaitu kesalahan pemilikan senjata api.
“Begitu juga dengan pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun yang turut ditahan dan disiasat di bawah Akta Senjata Api 1971 yang memperuntuk hukuman mati serta sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Razarudin menambah, di bawah akta berkenaan mana-mana individu yang didapati bersalah boleh dihukum mati dan juga sebatan.
“Pada masa ini, kita masih menjalankan siasatan secara terperinci ke atas ketiga-tiga mereka bagi menentukan motif utama suspek utama kes, warga Israel.
“Buat masa sekarang kesemua suspek masih ditahan reman untuk siasatan lanjut bagi membolehkan polis mengenal pasti motif sebenar pemilikan senjata api berkenaan.
“Lelaki warga Israel itu direman hingga 7 April ini manakala reman terhadap pasangan suami isteri terbabit pula akan berakhir pada 5 April ini.
“Sebarang proses susulan untuk sambung reman ke atas mereka khususnya warga Israel akan dimohon sekiranya pihak polis masih memerlukan masa tambahan untuk melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut,” tegasnya. – MalaysiaGazette