ISKANDAR PUTERI: Projek pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing, yang mengalami kelewatan selepas enam kali diberi pelanjutan tempoh, dijangka siap sepenuhnya pada Jun depan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menjelaskan projek itu tertunda sejak 2020 susulan beberapa isu, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Beliau berkata, Kerajaan Johor akan memantau kemajuan projek itu secara lebih dekat bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual dan kelewatan tidak lagi berlaku.
Semalam, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memerintahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, untuk menjelaskan punca kelewatan projek itu disiapkan.
Sultan Ibrahim dipetik bertitah, kolam itu sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022 tetapi hingga kini, ia masih dalam pembinaan.