SERANGAN yang dilakukan oleh Iran pada 14 April lalu adalah serangan yang sebenarnya tidak mengejutkan kerana tindak balas Iran telah diramalkan lebih awal selepas Israel mengebom bangunan konsulat Iran di Damsyik pada 1 April 2024 yang telah mengakibatkan tujuh orang anggota termasuk dua pegawai tertinggi Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC).
Serangan tindak balas itu berpunca daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang tidak memberikan sebarang respon terhadap tindakan Israel malah mendiamkan diri seolah-olah membenarkan pembunuhan yang telah dilakukan dengan niat untuk menarik Iran ke dalam ‘perangkap’ perang yang tidak berkesudahan.
Oleh itu, Iran ingin menunjukkan kuasanya dengan melancarkan roket ke arah Israel dengan mensasarkan kawasan strategik ketenteraan.
Walaupun pada masyarakat dunia, tindakan Iran itu adalah satu keberanian mencabar Israel yang dipertahankan oleh Amerika Syarikat dan negara Eropah yang lain, namun ia tidaklah kesan yang besar ke atas penjajahan Zionis di Palestin dan perang yang masih berlaku antara pejuang Mujahidin dan tentera Zionis di Gaza.
Serangan yang berlaku sebenarnya hanya memberi apa yang diinginkan oleh Israel untuk meraih simpati Amerika Syarikat dan pengukuhan kedudukan Benjamin Netanyahu sebagai Perdana Menteri Israel.
Ada dua senario yang boleh kita lihat. Pertama, serangan yang telah Israel lakukan ke atas bangunan konsulat Iran di Damsyik adalah satu tindakan yang langsung tidak memikirkan kesannya ke atas Israel.
Kedua, serangan tersebut sengaja dilakukan untuk menarik Iran dalam kancah perang serantau dan mengalihkan perhatian Amerika Syarikat dan negara Barat daripada perang yang berlaku di Gaza kepada Iran.
Senario yang kedua itu lebih dekat dengan kenyataan Benjamin Netanyahu yang diperjelaskan oleh Nomi Bar-Yaachov, salah seorang felo di Chatham House:
“Netanyahu’s plan is clear, to distract attention from the war in Gaza and to drag the US and other Western allies back into the Middle East”
Ini menunjukkan bahawa Israel tidak terkesan dengan apa yang berlaku dan ini adalah atas kepentingan politik masing-masing. Buktinya apabila Gaza berterusan diserang oleh rejim Zionis terutama di kem Nuseirat yang terletak di Gaza Tengah yang menyebabkan puluhan penduduk Gaza cedera dan setakat ini lima orang telah syahid.
Keganasan rejim Zionis terhadap penduduk Gaza diteruskan walaupun dikatakan mendapat tekanan dari Hezbollah di Lubnan, rejim Bashar Al-Assad di Syria dan puak Houthi di Yaman. Mereka sememangnya berjaya mengalihkan perhatian sebentar masyarakat dunia dengan memperlihatkan pergaduhan mereka dengan Iran.
Ya, tindakan Iran adalah tindakan yang wajar yang ia juga disokong oleh Hamas.
Namun, ia tidak cukup untuk memberi impak ke arah menghentikan keganasan yang berlaku di Gaza dan seterusnya membebaskan Palestin daripada cengkaman penjajah Zionis.
Perang Taufan Al-Aqsa telah memasuki hari yang ke-190 dengan angka kesyahidan melebihi 40, 000 dan seramai 76,309 orang yang telah cedera.
Mereka yang cuba untuk bergerak ke utara Gaza telah dihalang dengan dron dan peluru hidup dan penduduk di utara terus disekat untuk mendapatkan bantuan makanan dan pakaian.
Moga semangat dan usaha kita diteruskan dalam membela Palestin dan memastikan mereka bebas daripada cengkaman penjajah suatu hari nanti.
Disediakan Oleh:
Muhd Haikal Luqman Zulkefli
Eksekutif Strategik
Persatuan Cinta Gaza Malaysia