Satu daripada tiga bot nelayan asing ditahan Maritim Malaysia di perairan Sarawak semalam.- Foto Ihsan Maritim Malaysia
KUCHING: Tiga bot nelayan asing ditahan kerana menangkap ikan tanpa permit di perairan negara ini, semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh, berkata tiga bot nelayan Indonesia itu dikesan pada jam 5.20 pagi di kedudukan kira-kira 156 batu nautika di utara Tanjung Po.
Menurutnya, anggota Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan dengan KM Tun Fatimah itu melakukan pemeriksaan terhadap lapan kru termasuk tekong yang berada di atas ketiga-tiga bot itu yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 62 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, ketiga-tiga bot berkenaan tiada nombor pendaftaran dan berasal dari Indonesia dan kesemua kru bot tidak memiliki pengenalan diri yang sah.
“Kru, bot dan hasil tangkapan ditahan dan diiring ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS)l untuk disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan negara dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Menurutnya lagi, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM1 juta.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana bot nelayan asing yang memasuki dan melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara tanpa kebenaran,” katanya.