BAITULMAQDIS: Peguam Negara Israel hari ini mendakwa adik perempuan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, atas tuduhan menghasut dan menunjukkan solidariti terhadap kumpulan pejuang Hamas selepas tercetus perang pada 7 Oktober tahun lalu di Gaza.
Sabah al-Salem Haniyeh, 57, tinggal di bandar Tel Sheva di selatan Israel, manakala abangnya berpangkalan di Qatar bersama dengan pegawai lain dari kumpulan pejuang Hamas yang memerintah Semenanjung Gaza.
Menurut Kementerian Kehakiman Israel, Haniyeh ditahan di kem tahanan sejak penangkapannya pada 1 April lalu, namun tiada komen segera daripada peguamnya.
Menurut dakwaan, beberapa hari selepas perang pada 7 Oktober tahun lalu itu, Haniyeh menghantar mesej kepada puluhan kenalannya, termasuk kepada abangnya bagi memuji serangan rentas sempadan dan menyeru serangan selanjutnya.
Salah satu mesejnya yang disebut dalam dakwaan itu ialah ‘Ya Tuhan, hitunglah, hapuskan mereka dan jangan tinggalkan seorang pun dari mereka, Ya Tuhan’.
Pihak berkuasa kesihatan di Gaza memaklumkan bahawa perang yang tercetus pada 7 Oktober tahun lalu itu telah mengorbankan seramai lebih 34,000 rakyat Palestin terutama golongan wanita dan kanak-kanak. – REUTERS