AFC B23: Merselino Ferdinan permata baharu Indonesia

KUALA LUMPUR – Pemain muda tengah Indonesia bawah 23 (B-23), Merselino Ferdinan, 19, terus mencipta sejarah buat Sang Garuda ketika ini dalam saingan Piala Asia B-23 di Qatar.

Ferdinan menjadi antara bintang muda yang begitu mencuri tumpuan kini untuk skuad B-23 Indonesia selepas kejayaannya memimpin rakan sepasukan lain mara ke pentas suku akhir buat kali pertama dalam sejarah mereka.

Apatah lagi beliau turut meledak dua gol ketika aksi terakhir peringkat kumpulan semalam ketika Indonesia mudah aibkan Jordan menerusi keputusan penuh 4-1 di Stadium Abdullah Bin Khalifa, Qatar.

Malah Ferdinan juga merupakan pemain yang sudah pun beraksi untuk pasukan senior Indonesia sebelum itu di pentas Piala Asia 2023 selain lapan lagi bintang muda lain.

Bersama skuad senior, Ferdinan juga tidak melepaskan peluang untuk meledak satu gol selain dua jaringan terhasil kini bersama skuad B-23 Indonesia serta mempamerkan aksi cukup berkualiti.

Tampil memberi pandangan kepada media, Ferdinan mengakui kem kebangsaan Indonesia kini sangat gembira dan meraikan sejarah baharu dilakar skuad kendalian Shin Tae-yong itu di pentas Asia.

“Ya, tentu sahaja saya sangat gembira kini dengan pencapaian tersebut. Kami berjaya mencipta sejarah baharu dan ini kali pertama Indonesia B-23 mampu mara ke pusingan suku akhir dalam saingan Piala Asia.

“Pada saya, ia merupakan pencapaian yang cukup hebat buat bola sepak Indonesia kini dalam saingan antarabangsa.

“Semoga pada masa hadapan, segalanya bakal menjadi lebih baik buat Sang Garuda dan terus mencipta sejarah baharu yang membanggakan para penyokong,” ulas Ferdinan menerusi laporan Bola.com.

Pada masa sama, Ferdinan mengakui perlawanan semalam merupakan sesuatu yang sukar untuk dihadapi Indonesia walaupun mereka memperoleh jumlah jaringan besar mengatasi Jordan.

“Pada pandangan saya, ia merupakan suatu perlawanan yang cukup sukar untuk dihadapi tetapi kami juga berjaya menunjukkan corak permainan lebih bagus. Apapun, saya bangga dengan Indonesia,” kata Ferdinan lagi.

Bagi aksi seterusnya, Korea Selatan atau Jepun dilihat bakal menjadi lawan mereka di pentas suku akhir Piala Asia B-23 dalam misi pasukan itu untuk terus mengharumkan nama Indonesia. – Agensi

Source :