Mayat seorang lelaki berusia 60-an ditemui terapung di sungai oleh sekumpulan pemancing sekitar Kuala Baram pada petang Ahad. – Foto JBPM Miri
MIRI: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui di dalam sungai oleh sekumpulan sembilan pemancing udang galah sekitar Kuala Baram, di sini, semalam.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah, pada kira-kira jam 3.45 petang, pihaknya menerima panggilan daripada Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin yang memaklumkan tentang penemuan tersebut.
“Lee menghubungi pihak bomba setelah dimaklumkan tentang penemuan mayat lelaki berusia 60-an itu oleh salah seorang daripada pemancing itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Anggota dari BBP Lutong dikerahkan ke lokasi kejadian dan mereka turut dibantu oleh anggota BBP Lopeng.
Sementara itu, Suara Sarawak memetik Henry berkata, beliau berada di lokasi kejadian bersama-sama kesemua pemancing terbabit bagi membuat pengesahan penemuan mayat tersebut.
Katanya, pengesahan mayat dibuat setelah pihak bomba dari BBP Lopeng datang untuk membantu di lokasi bagi mengangkat mayat.
“Mangsa merupakan lelaki berusia sekitar 60-an dan setelah diperiksa, mangsa mengalami kecederaan iaitu kehilangan kedua-dua belah tangan dan kaki,” tambahnya.