JURURAWAT ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan dekat Johol. FOTO ihsan pembaca
Kuala Pilah: Lelaki disyaki terbabit kes jururawat wanita ditemui tidak sedarkan diri dipercayai akibat diserang dekat Johol, Jumaat lalu, ditahan semalam.
Suspek, 34, ditahan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah, di sini, kira-kira 4 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani berkata, permohonan reman terhadap suspek sudah dibuat di Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi.
“Seorang lelaki ditahan di IPD, petang semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes jururawat wanita yang ditarik dari keretanya sebelum dipukul sehingga separuh sedar malam Jumaat lalu.
“Suspek yang berusia 34 tahun direman selama empat hari bermula hari ini. Siasatan lanjut masih dijalankan berkenaan pembabitan suspek dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas mengenai motif kejadian, beliau berkata, pihak polis masih menjalankan soal siasat terhadap suspek termasuk hubungannya dengan wanita itu.
Media sebelum ini melaporkan jururawat wanita yang ditemui tidak sedarkan diri di tepi Jalan Simpang Tiga Dangi, dikatakan ditarik keluar dari kereta sebelum diserang.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa yang berusia 30-an ditemui tertiarap dan kasut tertanggal di luar keretanya dengan enjin masih hidup.